"Better late than never" itulah yang boleh digambarkan dengan kejayaan pengasas jus kesihatan, Asyraf Datuk Seri Khalid dan isterinya, Tya Arifin apabila impian mereka untuk mempunyai wisma sendiri akhirnya tercapai.

Hampir tiga tahun bergelut dan berjuang untuk mengukuhkan perniagaan tersebut akhirnya pasangan itu kini berjaya membina empayar mereka yang tersergam indah di Puchong.

Asyraf yang juga anak kepada Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K (suami Datuk Seri Siti Nurhaliza) berkata, perniagaan yang dibina bersama isteri tercinta sejak April 2018 bukanlah mudah dan untuk memiliki apa yang ada di depan mata harus melalui turun naik sama seperti usahawan lain.

“Saya sendiri bergelut memulakan perniagaan bersama isteri. Maklumlah buat sendiri itu ini. Ada kalanya percaturan kita menjadi dan begitulah sebaliknya.

“Kalau ikut semangat membara dalam jiwa, sejak awal lagi saya sudah mahu memiliki wisma sendiri di usia 26 tahun. Namun semua itu bukan mudah. Tak salah bercita cita tinggi, namun ada kalanya kita kena berpijak pada bumi nyata," katanya.

.

Dalam masa sama, ayah kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa berkata, kejujuran merupakan kunci utama untuk menggengam kejayaan.

“Jujur jadi kunci segala serbi langkah dimulakan. Niat saya dan isteri memulakan empayar perniagaan sendiri selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan," tambahnya.

Ketika mula dipasarkan, jus kesihatan yang dihasilkan pasangan ini dijual dalam botol, bagaimanapun, pada hujung tahun ini pelanggan ditawarkan pilihan dalam bentuk pek mudah bawa.