Setiap tahun, pentas berprestij di Singapura, Esplanade Theaters on The Bay akan menganjurkan Pesta Raya. Tahun ini, Astro AWANI akan terbang ke Singapura untuk membuat liputan tiga persembahan eksklusif yang akan berlangsung pada 30 Ogos hingga 1 September depan.

Antara yang menarik minat Astro AWANI adalah pementasan perdana teater 'I Am…" (Akulah…) karya eksklusif Erma Fatima yang akan hanya dipentaskan di sana.

Bakal dipentaskan di Studio Teater, Esplanade, teater I Am... (Akulah...) karya pengarah teater terkenal Erma Fatima itu membariskan pelakon hebat Malaysia dan Singapura, Erra Fazira, Umie Aida dan Adi Putra.

Karya eksklusif itu mengisahkan kisah cinta tiga segi yang berlaku di luar kawalan sehingga menyebabkan kematian apabila seorang perayu cinta dan kekasihnya begitu taksub mendapatkan bantuan bomoh dalam memenuhi nafsu mereka.

Dalam permainan tragis penuh bernafsu itu, nilai kehidupan harus dipertaruhkan, siapakah di antara mereka bertiga yang akan menjadi mangsa? Siapakah pula yang akan muncul sebagai pemenang?

Bakal menampilkan kandungan yang hanya sesuai untuk golongan dewasan berusia 16 tahun ke atas, pementasan berdurasi 90 minit itu akan dipersembahkan dalam Bahasa Melayu dengan sarikata Bahasa Inggeris.

I Am…(Akulah…) dipentaskan selama tiga malam bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos depan.

KONSERT SAYANG DI SAYANG - KARTINA DAHARI

Hanya untuk satu malam sahaja, kehidupan dan muzik salah seorang penyanyi Melayu paling popular era 60an dan 70an, Kartina Dahari bakal diraikan. Diva keroncong itu cukup dikenali dengan alunan vokal merdu, imejnya yang cukup anggun, karismanya sebagai penyanyi unggul dan persembahan lagu-lagunya masih segar hingga ke hari ini.

Tidak hairanlah sekiranya penggemar muzik di Malaysia dan Singapura telah meletakkan namanya berada dalam kelas yang tersendiri.

Sepanjang kerjayanya yang cemerlang dalam bidan muzik dan televisyen sehingga menjangkau era 80an, gemerlap bintang Kartina masih cerah kerana lagu-lagunya melangkaui bahasa dan bangsa dan berjaya memenangi hati kita semua.

Minatnya pada lagu-lagu rakyat dan tradisional dan kelebihan yang ada pada dirinya dalam menggubah lagu-lagu terkenal kepada genre keroncong membolehkannya digelar “Ratu Keroncong”.

Dibawah pimpinan maestro terkenal Amri Amin dan diiringi barisan orkestra seramai 42 pemuzik, persembahan muzik Kartina Dahari akan turut disertai sahabat-sahabat rapat antaranya Julie Sudiro, Kassim Masdor, Sugiman Jauhari, M.Ismail dan Jamilah Samsuri.

Dengarkan gabungan unik itu membawa kita ke lorong memori dengan dendangan rangkaian lagu-lagu malar segar Kartina seperti Terkenang-Kenang, Kembali Ke Pangkal Jalan dan banyak lagi.

Bakal dipersembahkan sepanjang 1 jam 30 minit tanpa waktu rehat, Konsert Sayang Di Sayang – Kartina Dahari bakal berlangsung di Dewan Konsert The Esplanade, Singapura pada 30 Ogos ini.

WAYANG KULIT POKKU REDANG KELANTAN

Turut mendapat liputan Astro AWANI adalah persembahan Wayang Kulit yang dibawakan dari Kelantan oleh Kumpulan Wayang Kulit.

Persembahan tersebut bakal berlangsung di Courtyard Green, The Esplanade pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

Terkenal sebagai sebuah persembahan boneka dengan gaya muzik tersendiri, wayang kulit adalah satu bentuk persembahan teater bayangan boneka purba yang berasal dari kepulauan Jawa. Disenaraikan sebagai Karya Warisan UNESCO, ia masih terus dinikmati hingga ke hari ini walaupun telah berkembang untuk bersaing dengan budaya kontemporari masa kini.

Dikemudi oleh Tok Dalang sebagai tukang cerita, pementasan ini akan dibawakan khas oleh kumpulan wayang kulit ulung dari Malaysia yang ditubuhkan pada 1979 oleh Eyo Hock Seng.

Kumpulan ini menyerlah kerana dikemudikan oleh Eyo, seorang berbangsa Cina yang fasih dalam dialek Kelantan. Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan di seluruh Malaysia dan turut dijemput ke Thailand, Indonesia dan Perancis untuk memperkasakan budaya warisan bangsa itu ke seluruh dunia.

Untuk pementasan itu, mereka akan mempersembahkan sebuah cerita dongeng pendek epic India yang cukup terkenal iaitu Ramayana.

30 Ogos, Jumaat
8.15 − 8.45 malam, 9.30 – 10 malam

31 Ogos, Sabtu
5.30 – 6 petang, 7 − 7.30 malam, 8.15 − 8.45 malam, 9.30 – 10 malam

1 September, Ahad
5.30 – 6 petang, 7 − 7.30 petang, 8.15 − 8.45 petang

Untuk menempah tiket persembahan, sila layari www.pestaraya.com. Jumpa anda di sana!