PRAJUALAN tiket konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour yang dibawakan oleh DHL merupakan salah satu yang paling hebat, kata penganjur konsert tersebut GoLive Asia.

Dalam satu kenyataan, GoLive Asia memaklumkan 400,000 peminat yang menunggu untuk membeli tiket secara maya merupakan sejarah bagi syarikat tersebut.

Syarikat tersebut juga menjelaskan akibat jumlah yang tinggi, aliran trafik di laman sesawang dan aplikasi pembelian tiket menjadi perlahan.

"Selepas menyelesaikan isu ini, pembelian telah dibuat dan pelanggan telah mendapatkan tiket mereka.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya mendapatkan tiket untuk pertunjukan itu, dan bagi mereka yang tidak berjaya, jangan risau, jualan am akan berlangsung esok dan anda masih berpeluang untuk mendapatkan tiket.

"Pragiliran bermula pada pukul 9 pagi esok diikuti dengan jualan pada pukul 10 pagi. Terima kasih atas sokongan anda dan semoga berjaya!" kata kenyataan itu.

Prajualan tiket konsert hari ini khusus untuk pemegang kad CIMB sahaja manakala esok jualan dibuka kembali.

Coldplay yang memenangi Anugerah Grammy mengesahkan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

Kemunculan mereka pada konsert yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.