Jika anda mudah terkejut dan merasa mual serta lemah semangat terutama sekali dengan gambaran-gambaran yang menjijikkan seperti darah yang mengalir pada sekujur tubuh yang berulat, maka, sebagai amaran, filem ini bukannya untuk tatapan anda.

Contracted:Phase II sarat dengan keganasan serta menjijikkan, lebih berbanding sebelum ini – filem ini tentunya memberi impak yang mungkin tidak dapat dilupakan.

Filem pertama, Contracted, yang dibintangi Najarra Townsend sebagai seorang wanita muda, Samantha , telah menjadi mangsa kepada seorang nekrofilia di sebuah majlis sosial.

Pada malam pesta itu, Samantha telah diberi dadah dan dirogol dan dalam masa yang singkat , dia mendapati dirinya mengalami penyakit kelamin misteri yang kemudiannya, dua tahun kemudian, membuka babak kepada filem kedua iaitu Contracted:Phase II.

contracted 2
Matt Mercer sebagai Riley, sebelum menjadi zombi (mayat hidup) akibat daripada sejenis kuman yang dihidapinya setelah bersama dengan seorang wanita. Gambar: GSC Movies


Walau bagaimanapun, jika anda tidak menonton Contracted tahun 2013, tidak banyak yang anda ketinggalan. Ianya adalah sebuah filem seram yang diarahkan dan ditulis oleh Eric England dan bagi fasa kedua ini, banyak babak-babak yang menceritakan kembali sejarah jalan ceritanya.

Di bawah arahan Josh Forbes pula, kali ini, filem ini tidak banyak lari dari kemelut dan isu-isu yang menghantui filem pertamanya di mana ianya dikritik dari segi pengendalian watak-watak dalam filem ini yang tidak memberangsangkan.Watak-watak utama tidak menampakkan perkembangan yang mantap dan diharapkan. Jalan ceritanya juga kucar-kacir dan agak terburu-buru.

Ngeri dan tidak henti-henti dengan adegan berdarah, penuh dengan ulat-ulat dan aksi-aksi yang menjijikkan, fasa kedua ini bersambung dari filem sebelumnya, di mana, Samantha yang telah berubah bagaikan zombi (mayat hidup) yang mengerikan telah terlibat dalam sebuah kemalangan kereta. Ketika dia melangkah keluar dari kenderaan itu, ibunya, yang telah tiba di tempat kejadian, meminta-minta polis agar tidak menembak Samantha, namun Samantha menyerang ibunya sendiri.

contracted 2
Salah seorang gadis yang menjadi mangsa kepada penyakit misteri tidak dapat menahan kesakitan dan kegusarannya. Gambar: GSC Movies

Fasa dua meyambung babak ini dengan memberi fokus kepada Riley, yang dimainkan oleh Matt Mercer yang terang-terangan menyukai Samantha, namun cintanya tidak terbalas seperti didalam filem pertama.

Namun begitu, Riley telah terjebak dengan penyakit ataupun kuman misteri ini apabila dia melakukan hubungan dengan rakan Samantha. Terdesak untuk mencari jawapan kepada punca penyakit ini, dengan mengejar masa dan bertarung nyawa, Riley telah menjejaki BJ, lakonan Morgan Peter Brown.

BJ merupakan seorang nekrofilia yang cuba untuk menakluki dunia dengan menyebarkan penyakit seksual yang tidak diketahui ramai ini, dengan dengan hasrat untuk menghancurkan manusia yang membawa kepada penyudahan yang lebih mengejutkan.

Drama ngeri filem Contracted:Phase II ini tidak berakhir di sini, fasa ketiga sudah tentunya akan menyusul di masa terdekat ini.

Lakonan: Matt Mercer, Morgan Peter Brown, Marianna Palka

Arahan: Josh Forbes

Karya: Craig Walendziak

Tayangan bermula: September 3, 2015 (GSC Movies)

Tontoni treler Contracted: Phase II di sini: