BINTANG Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan bakal membuat kemunculan di Beijing, China.

Filem lakonan beliau, Zero akan ditayangkan pada majlis penutup Festival Filem Beijing yang akan berlangsung dari 13 hingga 20 April depan.

Diarahkan oleh Aanand L.Rai, filem Zero merupakan filem termahal lakonan Shah Rukh Khan dan ditayangkan pada Disember lepas.


Ia mengisahkan Bauua Singh lakonan Khan, seorang lelaki kerdil yang terlibat dengan cinta tiga segi antara serorang pelakon terkenal lakonan Katrina Kaif dan seorang saintis yang merupakan pesakit cerebral palsy lakonan Anuhska Sharma.

Sejak ditayangkan Disember lalu, filem ini mencatatkan kutipan lebih US$27 juta.

Filem lain yang menjadi tumpuan di festival filem itu nanti ialah filem kerjasama China dan Kazakstan iaitu The Composer.

Diarahkan pengarah Kazakhstan, Xirzar Yahup, The Composer memaparkan kisah komposer China yang terperangkap di Almaty pada tahun 1940-an dan menjalinkan persahabatan dengan komposer Kazakh.

Turut ditayangkan di festival filem itu nanti ialah kesemua siri filem Bourne dan Mad Max serta filem arahan Alfonso Cuaron, Gravity.