Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Proklamasi 19 April tidak sah, tidak akan diwartakan - MB Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikaitkan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan. -Foto Astro AWANI
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikaitkan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan. -Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang mempertikai kedudukan Tuanku Muhriz adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa.
  • Kerajaan negeri tidak akan mewartakan proklamasi tersebut serta tidak menyokong sebarang usaha mempertikai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
  • Surat bertarikh 17 September 2026 telah ditarik balik tanpa syarat kerana tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Negeri Sembilan.
Advertisement

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikaitkan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Malah, beliau memberi jaminan proklamasi berkenaan tidak akan diwartakan selain menegaskan kerajaan negeri tidak akan menyokong sebarang usaha mempertikai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

“Saya menegaskan tanpa berbelah bahagi bahawa proklamasi yang dikeluarkan pada 19 April 2026 adalah tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan dan tidak akan diwartakan.

Advertisement

“Saya dan kerajaan negeri tidak akan menyokong, membantu atau memudahkan apa-apa usaha untuk mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar untuk mengiktiraf mana-mana orang lain atau untuk menghidupkan semula proklamasi 19 April 2026 itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan beliau telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bagi menarik balik surat bertarikh 17 September 2026 yang ditulisnya sebelum ini.

Advertisement

Menurutnya, surat berkenaan tidak pernah mewakili pendirian rasmi kerajaan Negeri Sembilan dan penarikan balik itu dibuat tanpa sebarang syarat.

“Saya telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Raja-Raja untuk menarik balik surat bertarikh 17 September 2026 yang ditulis oleh saya dan telah merekodkan bahawa surat itu tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.

“Saya mengesahkan penarikan balik itu adalah tanpa apa-apa syarat bagi diri saya dan bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan saya akan menyebabkan penerimaan itu direkodkan dalam minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saya menyatakan dengan jelas bahawa surat itu tidak pernah mewakili pendirian kerajaan Negeri Sembilan dan bahawa kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil apa-apa tindakan lanjut ke atasnya,” katanya.

Terdahulu, Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban sebelum memaklumkan bahawa baginda menitahkan beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Must Watch Video

Advertisement