NASIB nampaknya tidak menyebelahi Shafie Rio apabila tersingkir di konsert minggu keempat Gegar Vaganza musim kelima sebentar tadi.

Shafie yang berduet dengan juara Gegar Vaganza musim ketiga, Azharina, menerusi lagu "Ada Apa Dengan Cinta" menerima markah terendah daripada barisan juri profesional.

Gegar Vaganza musim kelima menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim sebagai juri tetap manakala Datuk Mokhzani Ismail tampil sebagai juri jemputan.

Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 bagi tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

GV5 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).