PROGRAM Gegar Vaganza (GV) baru sahaja melabuhkan tirai untuk musim kelima.

Belum dapat dipastikan jika ia akan kembali tahun hadapan, namun berdasarkan kenyataan pengurus saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, dalam sidang media selepas tamatnya pentas akhir Ahad lalu, kemungkinan untuk GV kembali untuk musim keenam tetap cerah.

Lima tahun bersiaran, pastinya GV meninggalkan kenangan manis bagi artis yang bertanding. Menang atau tidak, program ini menjadi platform untuk mereka kembali memeriahkan industri muzik tanah air.

Astro AWANI memilih enam artis ini sebagai comeback paling berjaya sepanjang GV bersiaran selama lima musim. Pilihan anda pula bagaimana?

1. Siti Nordiana (Gegar Vaganza musim 2)

Siti Nordiana, juara GV musim kedua.


Pernah dilabel artis kampung ketika kemunculannya di era 90-an dan awal 2000, Siti Nordiana atau Nana, membuktikan kemampuan luar biasanya yang selama ini terpendam, sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara. Demam Nana ketika itu tidak mampu dinafikan sesiapa, malah persembahannya saban minggu mendapat pujian melambung juri.

Menerusi single Terus Mencintaimu yang dilahirkan selepas tamat GV, Nana berjaya dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular ke 30. Bukan itu sahaja, Nana juga menjadi pilihan ramai pengarah sebagai heroin drama.

2. Zarul (Gegar Vaganza musim 3)

Zarul tekad tinggalkan kerjaya di awan biru selepas menang tempat ketiga GV musim ketiga.


Biarpun lagu bersama kumpulannya, Umbrella, Ramalanku Benar Belaka, cukup popular sehingga ke hari ini, nama Zarul tidaklah begitu dikenali, mungkin juga dipengaruhi faktor persaingan dengan ramai vokalis kumpulan pop rock seumpamanya di era 90an yang cukup sengit.

Kemunculan Zarul yang lama menyepi kerana memberi tumpuan kepada tugasan di awan biru, menjadi perhatian bukan sahaja kerana bakatnya, tetapi juga ketampanannya.

Berjaya dinobatkan pemenang tempat ketiga, Zarul memilih untuk meninggalkan kerjayanya sebagai pramugara Malaysia Airlines sebaik tamat GV, dan kerjaya seninya dilihat berkembang dengan baik sejak itu. Seperti juga Nana, Zarul kerap kali muncul dalam drama di kaca televisyen, selain turut melahirkan single baharu.

3. Zamani (Gegar Vaganza musim 5)

Zamani mula mengumpul peminat dalam kalangan anak-anak muda.

Let's face it. Zamani tidak memerlukan GV untuk menaikkan namanya, kerana hakikatnya pemilik vokal lunak ini tidak pernah 'hilang'. Dengan puluhan lagu popular, baik secara solo mahupun bersama kumpulan Slam, Zamani cukup bertuah kerana memiliki kelompok peminat yang sentiasa setia di belakangnya.

Namun kemunculannya dalam GV, membawa dia dikenali kelompok peminat baharu. Golongan yang rata-ratanya berusia bawah dan awal 20an ini, mungkin sebelum ini hanya mengenali suara Zamani dan tidak tuan punya badan. Agak lucu juga apabila ada antara peminat-peminat muda ini membuat 'lamaran' kepada Zamani di laman sosial, gara-gara sudah terpaut dengan suaranya.

4. Siti Sarah (Gegar Vaganza musim 3)

Sarah kembali aktif menyanyi selepas menyertai GV musim ketiga.


Entah bagaimana percaturan kariernya, Sarah dilihat hanya menyerlah pada tahun pertama sebagai penyanyi, biarpun diakui mempunyai bakat besar. Pemenang anugerah Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ini kemudiannya menyepi dan memilih untuk menumpukan perhatian kepada keluarga selepas berkahwin.

Kemunculan Sarah dalam GV membawa peminat mengimbau bakat besar yang dimilikinya. Single terbaharunya, Semakin, kini antara lagu popular dan mendapat kedudukan yang baik dalam carta muzik.

5. Faradhiya (Gegar Vaganza musim 2)

Penyertaan dalam GV membuatkan ramai menyedari kehebatan Faradhiya sebagai penyanyi.


Si cantik ini memulakan langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi dan lagunya, Bertakhta di Hati, merupakan antara lagu cinta kegemaran ramai. Namun seperti Sarah, tidak pasti mengapa langkah Faradhiya dalam dunia nyanyian selepas itu seolah-olah terhenti. Rezeki lebih terarah ke bidang lakonan pula.

Penyertaan dalam GV membuatkan ramai menyedari Faradhiya sememangnya seorang penyanyi yang baik. Ia jelas terbukti apabila dia dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua.

6. Elite (Gegar Vaganza musim 5)

Tersingkir awal, namun nama Elite jadi sebutan.


Biarpun tersingkir awal, harus diakui, Elite berjaya mencipta 'kejayaan' peribadi menerusi GV musim ini. Kelibat mereka ditunggu ramai dan menjadi antara tarikan utama GV musim ini. Dan seperti Zamani, Elite juga berjaya mengumpul peminat dalam kalangan generasi muda. Malah, lagu Tamparan Wanita yang dinyanyikan pada minggu pertama menjadi siulan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.