Ringkasan AI
- Apple sedang membangunkan ejen AI autonomi yang mampu mengendalikan aplikasi, mengawal peranti dan menulis kod komputer bagi pihak pengguna.
- Pembangunan ini dikesan melalui iklan jawatan kosong untuk pengurus kejuruteraan kanan di laman web rasmi Apple minggu ini.
- Apple dijangka memperkenalkan ejen AI baharu seawal penghujung 2027, dalam usaha bersaing dengan syarikat teknologi lain yang telah mendahului.
CUPERTINO: Apple dilapor sedang membangunkan ejen kecerdasan buatan (AI) autonomi tersendiri yang mampu mengendalikan aplikasi, mengawal peranti serta menulis kod komputer bagi pihak pengguna.
Menurut laporan Amanz yang memetik Bloomberg, perancangan itu dikesan menerusi iklan jawatan kosong yang disiarkan di laman web rasmi syarikat teknologi gergasi berkenaan minggu ini bagi mencari seorang pengurus kejuruteraan kanan.
Setakat ini, Apple dilihat agak ketinggalan dalam pembangunan ejen AI tersendiri berbanding pesaingnya seperti OpenAI, Anthropic, Google dan Meta, apabila generasi ketiga sistem Apple Foundation Models yang memperkasakan Apple Intelligence dibangunkan menerusi kerjasama yang memanfaatkan model Gemini milik Google.
Menerusi deskripsi iklan jawatan berkenaan, ejen AI baharu Apple itu kelak berupaya menggunakan komputer sebagaimana pengguna manusia yang mahir, termasuk melayari web, menjalankan arahan komputer serta menulis dan menyahpepijat kod.
Teknologi itu juga dibangunkan untuk memilih alat yang sesuai bagi merancang serta menyelesaikan tugasan berbilang langkah merentasi pelayar web, aplikasi, dokumen, terminal, editor kod dan pelbagai perkhidmatan lain, di samping menyelaraskan subejen khusus.
Apple dilihat berdepan tekanan untuk memperkasakan keupayaan AI pada perantinya di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, John Ternus, memandangkan penawaran sedia ada masih kurang kompetitif berbanding pesaing utama.
Ketika ini, syarikat teknologi lain sudah mendahului menerusi pengenalan pelbagai ejen AI masing-masing, termasuk Muse oleh Meta, Claude Duet oleh Anthropic, Tasks oleh Google dan Dots oleh OpenAI, manakala perkhidmatan baharu Apple itu dijangka diperkenalkan seawal penghujung 2027.