Gitaris U2, The Edge, mengejutkan peminat apabila terjatuh dari pentas sewaktu menjayakan persembahan pertama dalam konsert jelajah kumpulan rock veteran dari Ireland itu di Vancouver, Kanada pada Khamis lalu.

The Edge yang memiliki nama sebenar David Howell Evans itu dikatakan tidak melihat bucu atau pinggir pentas lalu terjatuh hingga mengakibatkannya mengalami kecederaan ringan.

Satu rakaman video peminat yang kini popular dalam talian menunjukkan rakaman insiden tersebut iaitu semasa lagu "I Still Haven't Found What I'm Looking For" dipersembahkan.

The Edge telah tersalah langkah hingga melepasi pinggir pentas lalu terjatuh sementara penyanyi Bono sedang menyanyikan korus lagu berkenaan.

Rakaman menunjukkan The Edge terjatuh dari pentas sewaktu persembahan konsert. - Foto sumber YouTube/RockArchives

Selepas konsert tersebut, gitaris berusia 53 tahun itu telah memuat naik gambarnya di Facebook dengan kesan lecet pada lengan kanan bersama mesej “Tidak nampak pinggir pentas, saya OK!!”.

Insiden itu merupakan kejutan terkini bagi kumpulan tersebut yang popular dengan album seperti "The Joshua Tree" dan "Rattle and Hum."

November lalu, Bono telah terjatuh sewaktu mengayuh basikalnya di taman awam Central Park New York lalu mencederakan tangan, bahu, siku dan wajahnya.

Penyanyi itu terpaksa menjalani pembedahan intensif dan dinasihatkan berehat selama berbulan-bulan sebelum memulakan siri konsert jelajah mereka.

Sejak siri persembahan tahun 2009 hingga 2011, Vancouver merupakan lokasi pertama bagi U2 kembali beraksi di pentas konsert jelajah. Ia mencatat rekod jualan tiket yang luar biasa di kesemua 110 lokasi di seluruh dunia dengan kebanyakannya dilangsungkan di stadium.

Jelajah terbaharu dengan nama "Innocence and Experience," itu turut melibatkan 70 persembahan di sekitar Amerika Utara dan Eropah.

Jelajah berkenaan bagi mempromosikan album studio U2 yang ke-13 "Songs of Innocence" yang telah mencetus kontroversi berikutan ia diedarkan secara percuma kepada setengah bilioj pengguna iTunes di seluruh dunia pada Oktober lalu.