Ringkasan AI
- Filem Takluk 2: Op Daulat diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan Operasi Daulat.
- Filem ini menyorot perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara, khususnya ATM dan PDRM, dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
- Takluk 2: Op Daulat akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 November ini.
PUTRAJAYA: Filem 'Takluk 2: Op Daulat' membawa penonton mengimbau kembali peristiwa hitam dalam sejarah negara, khususnya pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, filem berkenaan bukan sekadar karya hiburan, sebaliknya menjadi medium untuk mengingati dan menghayati sejarah perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Filem ini bukan sekadar sebuah filem aksi ketenteraan dan juga kepolisan. Filem ini saya percaya membawa kita kembali mengingati dan menghayati satu peristiwa hitam dalam sejarah negara.
"Mungkin ramai yang ada di sini masih muda, tidak ingat ataupun masih kecil ketika peristiwa itu berlaku," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Malam Gala dan Sidang Media Takluk 2: Op Daulat di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Filem berkenaan diinspirasikan daripada kisah benar Operasi Daulat yang tercetus susulan pencerobohan sekumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.
Menjelang berakhirnya operasi berkenaan, seramai 56 pengganas dilaporkan terbunuh, selain enam orang awam turut terkorban.
Pertempuran itu juga menyaksikan 12 perwira negara gugur ketika mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
Menerusi filem berkenaan, penonton dibawa menyelami perjuangan pasukan keselamatan Malaysia, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berganding bahu dalam usaha menumpaskan ancaman berkenaan.
Kerjasama strategik ATM dan PDRM dalam penerbitan filem itu turut menjadi antara kekuatan utama bagi menghasilkan gambaran operasi ketenteraan yang lebih realistik.
'Takluk 2: Op Daulat' menampilkan barisan pelakon popular tanah air antaranya Datuk Remy Ishak yang membawa watak Mejar Haikal, Syafiq Kyle sebagai DSP Zambri dan Kamal Adli sebagai DSP Jai.
Turut membintangi filem itu ialah Fadlan Hazim sebagai Apot, Datuk Eman Manan sebagai Raja Iskandar, Datuk Rahim Razali sebagai Raja Indra, Amir Nafis sebagai Ramos, Nas-T sebagai Adib, Luqman Hafidz sebagai Gaban dan Taufiq Hanafi sebagai Ustad.
Selain itu, filem berkenaan turut menampilkan Riezman Khuzaimi, Haeriyanto Hassan, Shah Jamaludin, Ayez Shaukat, Datuk Hilal Azman, Nasir Jani, Sara Ali dan Anas Ridzuan.
Filem itu merupakan kesinambungan 'Takluk: Lahad Datu' yang mencatat kutipan pecah panggung RM26.9 juta pada 2024.
Lebih daripada sebuah filem aksi, 'Takluk 2: Op Daulat' turut mengangkat sisi kemanusiaan, semangat persaudaraan serta pengorbanan anggota keselamatan dan keluarga mereka, sekali gus menjadi penghormatan kepada wira negara yang terkorban demi mempertahankan tanah air.
'Takluk 2: Op Daulat' bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 November ini.