KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hael Husaini mengakui tidak percaya akan diberi peluang untuk berada di atas pentas yang sama dengan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa untuk Konsert Rossa 25 Shining Years.

Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 34, menyatakan bahawa dia sendiri terkejut apabila mendapat jemputan daripada pihak penganjur untuk menyanyi bersama Rossa.

“Ini adalah satu penghargaan dan saya rasa begitu bangga untuk menjadi salah seorang wakil Malaysia untuk bersama dengan Datuk Seri Rossa.

“Bila saya dapat jemputan ini, saya masih tidak percaya sebenarnya namun saya nak ucapkan terima kasih kepada penganjur kerana mempertimbangkan nama saya untuk berada di konsert ini,” katanya semasa sidang media Konsert Rossa 25 Shining Years baru-baru ini.

Selain Hael Husaini, antara penyanyi yang pernah bersama dengan Rossa di atas pentas yang sama adalah Joe Flizzow, Datuk Jamal Abdillah dan pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 2012.

Selain penyanyi lagu Jampi itu, peminat juga akan dihiburkan dengan kehadiran Judika sebagai penyanyi undangan.

Pada masa sama, Hael turut menyatakan bahawa mereka belum lagi menentukan jumlah lagu yang akan dinyanyikan pada konsert tersebut namun mereka akan berjumpa dan berbincang untuk menentukannya kelak.

“Kami masih belum menentukan berapa buah lagu yang akan dinyanyikan pada konsert tersebut tapi saya akan berjumpa dengan Datuk Rossa dan berbincang.

“Apa-apa pun saya berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam tersebut,” ujarnya kepada media.

BACA: Harga tiket konsert mahal, Rossa minta maaf kepada peminat di Malaysia

Rossa dijangka menghiburkan peminatnya dengan 27 buah lagu popular termasuk beberapa lagu yang tidak pernah didendangkan di konsertnya di  Jakarta, Indonesia.

Konsert ini juga akan mendapat sentuhan empat pengarah muzik iaitu Dandy Lashido, Risyanda, Eka Gustiwana dan Andi Rianto.

Konsert Rossa 25 Shining Years akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 November ini.