KUALA LUMPUR:Pelakon dan penerbit filem terkenal, Datuk Hans Isaac memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Seri Eizlan Yusof selepas mengakui kesilapan membuat dakwaan tidak berasas baru-baru ini.

Bekas Pengerusi Finas itu berkata, beliau mengakui melakukan kesilapan dengan mengaitkan Eizlan dengan Excellent Pictures Sdn Bhd yang menerima Dana Kandungan Digital 2020 (DKD) yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan.

Kata Hans, pada 16 November lalu, beliau telah menghantar satu mesej di dalam kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan mengucapkan tahniah kepada tiga buah syarikat yang telah dipilih untuk menerima DKD daripada Finas termasuk Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Dato’ Seri Eizlan Yusof dan Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya. Pada hakikatnya, saya telah bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan beserta permohonan maaf kepada Dato’ Seri Eizlan Yusof semalam sebaik sahaja saya sedar akan kesilapan tersebut.

“Tetapi sebelum sempat saya berbuat demikian, saya dimaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peguam kepada saya,” kata Hans dalam kenyataan yang dimuatkan di Facebook peribadinya pada Khamis.

BACA: Hans Isaac bakal bertanding di PRU15? Ini jawapan beliau...

Sehubungan itu, Hans menjelaskan, beliau secara peribadi telah menghubungi Eizlan melalui peguamnya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung dengan kesilapan tersebut.

“Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan yang tidak disengajakan.

“Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” kata Hans lagi.

Pada Rabu, Eizlan memberitahu, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hans berhubung dakwaan tidak berasas yang dikongsi dalam mesej WhatsApp.

Dakwaan tidak berasas itu, tegas Eizlan, telah mencemarkan reputasinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas.

Tegas Eizlan, beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dalam syarikat produksi tersebut seperti yang didakwa oleh Hans.

BACA: Didakwa salah guna kuasa, Eizlan Yusof saman Hans Isaac