PASANGAN selebriti, Harry Styles dan Olivia Wilde akhirnya berpisah selepas dua tahun menjalinkan hubungan.

Majalah People mendakwa Styles, 28, dan Wilde, 38, terpaksa mengambil keputusan untuk menamatkan hubungan mereka buat sementara waktu kerana mempunyai keutamaan berbeza.

"Styles sibuk dengan konsert jelajah dan sering ke luar negara. Wilde pula harus memberi tumpuan kepada anak-anaknya dan kerjayanya di Los Angeles. Ia adalah keputusan yang harus diambil, tetapi mereka masih berkawan rapat," kata sumber.

Rakan pasangan itu pula berkata, tekanan yang diterima daripada peminat menjadikan situasi mereka lebih sukar.

"Mereka seperti pasangan lain, ada pasang surut dalam perhubungan," ujar rakan itu dipetik dari People.

Page Six pula melaporkan tiada siapa yang memutuskan hubungan, sebaliknya ia keputusan bersama.

"Ini adalah hubungan cinta paling lama Harry, jadi jelas mereka mempunyai ikatan istimewa," lapor portal itu.

Wilde kali terakhir dilihat hadir menyaksikan konsert Styles pada 15 November di Los Angeles, ditemani dua anaknya.

Pelakon yang menempa nama menerusi siri House itu mempunyai seorang anak lelaki Otis, 8, dan anak perempuan Daisy, 6, dengan bekas tunangnya, Jason Sudeikis.