KUALA LUMPUR: Pelakon popular Hun Haqeem, 26, mengakui terkejut dengan tindakan bekas pihak pengurusannya, David Teo, mendedahkan kepada umum mengenai kes saman pelanggaran kontrak yang berlaku sejak 2020.

Hun Haqeem yang dikenali menerusi drama bersiri Kampung People berkata, ini berikutan kes itu masih berjalan di mahkamah.

"Saya terkejut sebab kes ini sudah berjalan sejak saya keluar Metrowealth International Group (MIG) pada 2020. Semasa pusingan pertama, ia memihak kepada saya dan ketika itu saya juga tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

"Kini, apabila ia tiba-tiba keluar, saya jadi tertanya-tanya kenapa ia muncul semula?" katanya ketika ditemui media selepas Majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2024, di sini, pada Khamis.

Mengakui terkilan, pemilik nama penuh Haqeem Hermy itu bagaimanapun berharap agar masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya terkilan sebab saya cuma nak mengharumkan nama industri sebab ada banyak potensi. Kita ada banyak platform dan sebagainya...boleh bantu naikkan satu sama lain.

"... lagipun, industri ini kecil sahaja dan saya percaya kami akan selalu berjumpa, jadi saya nak selesaikannya dengan baik, saya turut apa sahaja perintah mahkamah walaupun jadual saya agak sibuk," katanya.

Sebelum ini, pemilik syarikat produksi, MIG David Teo mendedahkan, Hun Haqeem diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM613,950 kepada MIG selepas menarik diri daripada terus bernaung di bawah syarikat penerbitan itu.

Dalam pada itu, Hun Haqeem yang dilantik sebagai Duta Kempen Ramadan dan Raya Astro 2024, bakal meraikan anak-anak yatim dan komuniti setempat di beberapa negeri terpilih menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menyampaikan mesej positif.

Selain beliau, artis lain yang dilantik sebagai duta kempen itu ialah Jalaluddin Hassan, Mierul Aiman, Qasrina Karim dan Erysha Emyra. - BERNAMA