LOS ANGELES : Kalau sudah namanya anak saudara, tentu sekali terlalu banyak persamaan dapat dikesan pada wajah dan sosok tubuh dua beranak itu.

Justeru, usaha syarikat produksi Hollywood untuk menerbitkan filem biografi (biopik) seniman legenda Michael Jackson dipermudahkan dengan adanya pewaris seni Raja Pop dunia itu.

Jaafar Jackson yang juga anak saudara kepada mendiang Michael akan memegang watak utama dalam filem arahan Antoine Fuqua dan diterbitkan oleh Graham King itu.

Berusia 28 tahun, Jaafar merupakan anak kepada Jermaine Jackson iaitu abang Michael Jackson.

Jaafar mengikut jejak langkah bapa serta bapa saudaranya, Michael dan ibu saudaranya, Janet Jackson sebagai penyanyi dan penari di Hollywood.

Selain watak utama Michael, pihak produksi juga sudah mengenal pasti pelakon-pelakon lain untuk memegang watak adik beradik Michael yang pernah dikenali sebagai Jackson 5 iaitu Jermaine, Marlon, Tito dan Jackie Jackson pada pelbagai peringkat umur

Biopik “Michael” tidak hanya akan bercerita mengenai sisi hidup Michael semata-mata, sebaliknya, Jackson 5 yang menjadi platform awal kemasyhuran Michael juga akan kembali ‘dijelmakan.’

Selain Jaafar yang memegang watak Raja Pop, pelakon Juliano Krue Valdi pula akan memegang watak Michael pada usia muda.

"Naskhah sebenar filem ini memerlukan sejumlah 10 pelakon dengan bakat untuk menggambarkan Jackson 5 sepanjang tahun.

"Saya sangat teruja untuk membawa kumpulan pelakon dan penghibur yang luar biasa ini kepada penonton di seluruh dunia dalam filem ini," kata King semasa mengumumkan senarai pelakon filem "Michael."

“Michael” yang dijangka ditayangkan di pawagam pada 18 April 2025, kini sedang menjalani penggambaran. - Agensi