PENGGAMBARAN siri televisyen terbaharu bintang Bond, Jane Seymour di Ireland berhadapan masalah selepas pelakon itu mengalami kecederaan.

Seymour, 70, sedang membuat penggambaran untuk adegan filem Harry Wild minggu lalu ketika dia mengalami kemalangan, namun perkara itu tidak menghalangnya untuk meneruskan kerja.

"Dalam adegan itu saya perlu berlari melintasi jambatan dan mencari seorang lelaki, dan ketika itulah saya terjatuh," katanya dalam video yang dikongsi di Instagram.

Seymour memaklumkan dia mengalami kecederaan pada bahagian lututnya dan masih merasa sakit, namun penggambaran diteruskan biarpun terpaksa menggunakan pelakon ganti untuk beberapa adegan.



Seymour, yang mula terkenal sebagai gadis Bond Solitaire dalam 'Live and Let Die' pada tahun 1973, memegang peranan utama dalam siri drama itu yang kini sedang menjalani penggambaran di Dublin.

Siri lapan episod itu akan berkisar mengenai watak Seymour, seorang profesor sastera Inggeris yang telah bersara dan terpaksa tinggal dengan anaknya yang merupakan seorang detektif.

Harry Wild akan ditayangkan tahun depan di Ireland, Amerika Syarikat, Britain, Australia, Sepanyol dan Portugal.