Walaupun Neelofa sudah mengesahkan dirinya kini tidak terikat dengan mana-mana lelaki lagi, namun masih ada yang tertanya-tanya tentang perkara tersebut.

Bercakap mengenai kesudahan hubungan cintanya dengan pelakon dan penerbit Hans Isaac, Neelofa memberitahu, tidak lagi bersama jejaka itu sejak awal tahun ini.

“Sebenarnya memang kami dah berpisah sejak awal tahun lalu. Tetapi pada waktu itu saya diamkan sahaja kerana saya rasa tidak perlu dihebohkan tentang perkara tersebut.

“Lagipun kami pun tidak bersedia untuk dedahkan kepada umum. Lepas beberapa bulan tidak bersama, masing-masing sudah boleh menerima hakikat dan kami mengambil keputusan untuk beritahu sahaja kepada peminat yang bertanya, bahawa hubungan kami ini sudah tiada harapan.

“Apapun saya lega kerana hubungan kami berakhir dengan cara yang professional dan matang,” kata Neelofa ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik fesyen pertama Malaysia, Airish Miracle, di Hotel Royal Chulan semalam (Isnin).

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai punca perpisahan mereka, Neelofa enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Puncanya terlalu peribadi dan bukan kerana orang ketiga,” kata Neelofa yang juga duta Airish Miracle ini.

Neelofa
Neelofa dan Hans Issac - Foto Astro Gempak

Tambah gadis berusia 25 tahun itu lagi, dia tidak mahu terus-terusan bersedih dan dibayangi Hans Isaac.

“Saya jelaskan perkara ini hari ini kerana tidak mahu langsung dikaitkan dengan Hans. Saya juga faham mengapa Hans tidak mahu cakap banyak tentang perkara ini.

“Bagaimanapun saya masih menghormati Hans sebagai orang yang lebih senior dan semua kebaikan yang telah diberikan kepada saya,” ujarnya.

Menurut Lofa lagi, dia kini sedang sibuk dengan aktiviti seni selain perniagaan yang diusahakannya seperti produk supplement, perniagaan pakaian muslimah dan kanta lekap yang baru dilancarkan April lalu.

“Sejak ‘single’ ni, saya banyak habiskan masa di pejabat dan menumpukan sepenuh perhatian pada rangkaian perniagaan saya.

“Buat masa ini belum terfikir lagi nak cari pengganti. Tetapi selepas ini kalau ada lelaki yang berjaya menambat hati saya dan keluarga restu saya terus kahwin…tak nak tunggu lama-lama dah,” katanya ketawa.

Pengacara program MeleTOP ini juga berharap agar dapat menguruskan dan mengembangkan perniagaannya dengan baik. -- Astro Gempak