Skip to main content

Dunia

Cincin milik mangsa terselamat Titanic dilelong pada harga £150,000

Cincin berlian tunggal itu dipakai oleh pereka fesyen terkemuka Britain berkenaan ketika kapal persiaran mewah Titanic karam pada 15 April 1912 dalam pelayaran sulungnya yang mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa. -Foto X @WhatSellsBest
Cincin berlian tunggal itu dipakai oleh pereka fesyen terkemuka Britain berkenaan ketika kapal persiaran mewah Titanic karam pada 15 April 1912 dalam pelayaran sulungnya yang mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa. -Foto X @WhatSellsBest

Ringkasan AI

  • Cincin berlian milik Lucy, Lady Duff Gordon, penumpang terselamat Titanic, dilelong pada harga £150,000 (RM825,000) di United Kingdom.
  • Cincin itu satu-satunya barangan kemas bernilai milik mendiang yang terselamat daripada tragedi Titanic dan dikenali sebagai "Cincin Titanic" dalam keluarganya.
  • Lelongan turut melibatkan tiket masuk harian pelepasan Titanic dan poskad ditulis ketua operator wayarles Titanic, Jack Phillips.
Advertisement

WILTSHIRE: Sebentuk cincin berlian milik penumpang terselamat Titanic, Lucy, Lady Duff Gordon, berjaya dilelong pada harga £150,000 (kira-kira RM825,000) di United Kingdom pada Sabtu, lapor Independent.

Cincin berlian tunggal itu dipakai oleh pereka fesyen terkemuka Britain berkenaan ketika kapal persiaran mewah Titanic karam pada 15 April 1912 dalam pelayaran sulungnya yang mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa.

Ia merupakan satu-satunya barangan kemas bernilai milik mendiang yang terselamat daripada tenggelam bersama kapal itu dan dikenali dalam kalangan keluarganya sebagai "Cincin Titanic", selain dipercayai merupakan cincin pertunangannya.

Advertisement

Barangan peribadi bersejarah itu dilelong oleh waris langsung mendiang menerusi rumah lelongan Henry Aldridge & Son di Devizes, sekali gus jauh mengatasi anggaran awal katalog antara £80,000 hingga £120,000 (kira-kira RM440,000 hingga RM660,000).

Jurulelong Henry Aldridge & Son, Andrew Aldridge berkata, barangan kemas berkaitan penumpang terselamat Titanic jarang muncul di pasaran, lebih-lebih lagi barangan peribadi milik penumpang berprofil tinggi yang dijual terus oleh waris keluarga.

Advertisement

Cincin itu sebelum ini dihadiahkan kepada cucu Lady Duff Gordon, John yang merupakan Earl of Halsbury ke-3 dan disimpan sebagai khazanah keluarga selepas kematiannya.

Untuk rekod, Lady Duff Gordon belayar ke Amerika Syarikat pada 1912 bersama suaminya, Sir Cosmo Duff Gordon, sebagai penumpang kelas pertama Titanic.

Pasangan itu bersama setiausaha mereka, Laura Mabel Francatelli, terselamat menggunakan Bot Penyelamat No. 1 yang direka untuk memuatkan 40 orang, namun diturunkan ke laut dengan hanya 12 penumpang termasuk tujuh kru.

Tindakan Sir Cosmo memberikan cek bernilai £5 (kira-kira RM27.50) kepada setiap kru bot berkenaan di atas kapal penyelamat RMS Carpathia selepas syarikat White Star Line menghentikan gaji mereka pernah mencetuskan dakwaan bahawa pasangan itu merasuah kru supaya tidak berpatah balik menyelamatkan mangsa lain.

Dalam sesi lelongan yang sama, sekeping tiket masuk harian untuk menyaksikan pelepasan Titanic dari pelabuhan Southampton bertarikh 10 April 1912 turut dijual pada harga £40,000 (kira-kira RM220,000).

Tiket milik Eliza Dibden, ibu kepada penumpang kelas kedua berusia 18 tahun, William Dibden yang terkorban dalam nahas itu dilelong bersama sijil pembaptisan pertama anaknya bertarikh 1908.

Selain itu, sekeping poskad yang ditulis oleh ketua operator wayarles Titanic, Jack Phillips, 25, kepada kakaknya pada 6 April 1912 ketika kapal itu berlabuh di Southampton turut dijual pada harga £32,000 (kira-kira RM176,000).

Phillips disifatkan sebagai antara wira sebenar tragedi berkenaan kerana bertungkus-lumus menghantar isyarat kecemasan bagi memanggil kapal lain membantu menyelamatkan penumpang ketika Titanic sedang karam.

Must Watch Video

Advertisement