KUALA LUMPUR: "Jangan hanya sekadar menyemak..," demikian kata penulis lirik tersohor negara, Datuk Habsah Hassan berhubung fenomena kehadiran 'artis-artis segera' termasuk dalam kalangan usahawan yang disifatkan boleh menjejaskan imej industri seni tanah air.

Habsah atau mesra dipanggil Kak Chah berkata, segelintir individu yang memiliki wang sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa berdepan cemuhan.

"Setiap orang ada kelebihan, dan mungkin kelebihan kita dalam bidang ini. Jadi bidang yang kita bukan ahli (mahir),  saya ingat, tak usahlah... orang kata menyemakkan sahajalah," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program yang dikendalikan oleh pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramlie itu turut menampilkan komposer dan penulis lirik, Fauzi Marzuki dan penyanyi, Aishah, Aina Abdul, Naim Daniel serta Eric daripada kumpulan Floor 88.

Mengulas lanjut, penulis lirik lagu Salam Terakhir itu berpandangan perlu ada badan berkaitan yang memantau lambakan-lambakan lagu dan penyanyi, yang kualitinya boleh dipertikaikan.

Jelas beliau lagi, stesen-stesen penyiaran juga dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan lagu-lagu, dan bukan hanya sekadar gimik atau wang semata-mata.

"Tetapi saya rasa kalau kita nak kan komersial atau gimik, biarlah gimik yang menaikkan martabat (industri muzik) kita dan bukannya menjatuhkan.

"Ini hanya membuat di luar sana (masyarakat) lebih banyak kecaman berbanding pujian. Mungkin stesen buat duit tetapi adakah buat duit memadai dengan merosakkan industri?" soalnya.

Selain itu, Habsah menambah penonton atau pendengar tidak wajar 'diperbodohkan' dengan persembahan atau nyanyian yang merepek.

Sebagai individu yang berpengalaman, Habsah menegaskan, industri seni sentiasa menghargai kehadiran artis-artis baharu yang berbakat besar.

Dalam masa yang sama, Habsah turut mencadangkan agar kawalan kualiti atau quality control diwujudkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penyiaran menilai lirik, melodi dan suara penyanyi sebelum sesebuah lagu itu dibenarkan untuk disiarkan.