KUALA LUMPUR: Jenazah wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin akan dibawa terus ke Masjid Kampung Baru, ibu negara sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.

Sebaik tiba di Masjid Kampung Baru bagi penghormatan terakhir, jenazah Allahyarham Siti Nor Hafiza akan disembahyangkan sebelum dibawa ke di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Jalan KL- Karak untuk dikebumikan.

Menurut Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin,
sebaik urusan di KLIA selesai, jenazah akan terus dibawa ke masjid untuk urusan solat jenazah sekitar pukul 10 ke 11 pagi.


“Mana-mana sahabat atau kenalan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Siti Nor Hafiza boleh saja hadir ke Masjid Kampung Baru pagi ini dan boleh mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih,” kata Tengku Khalidah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Allahyarham Siti Nor Hafiza, 40, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Charing Cross, London pada 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) pada 28 Disember lepas.

Beliau menerima rawatan di hospital itu selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 27 Disember lepas untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Sementara itu, Tengku Khalidah juga memaklumkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan menyantuni keluarga Allahyarham Siti Nor Hafiza sekitar pukul 3 petang ini di kediaman keluarga Allahyarham di Ampang, Selangor.