Berikutan kejayaannya memperoleh kutipan box-office paling tinggi dalam sejarah filem Malaysia, filem ‘The Journey’ meraih penghargaan Anugerah Pencapaian Seni dan Hiburan yang Memberangsangkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Filem persembahan Astro Shaw Sdn Bhd dan dikeluarkan oleh Woohoo Pictures telah mencipta rekod sebagai filem yang mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah pebuatan filem di Malaysia.

Ia mengumpulkan kutipan sebanyak RM17.28 juta dalam masa 56 hari selepas ditayangkan dan filem yang ditayangkan di seluruh panggung wayang di Malaysia dan Singapura pada 30 Januari dan 20 Mac dijangka akan ditayangkan di Taiwan selepas ini.

Menurut Eksekutif Produser ‘The Journey’ yang juga merupakan Naib Presiden bagi Perniagaan Pelanggan Cina Astro, Choo Chi Han, mereka terharu dengan penghargaan yang diberikan dan bagaimana filem ini mampu menyentuh hati seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.

“Kita sangat gembira apabila filem ini berjaya menyentuh hati seluruh lapisan masyarakat di Malaysia yang banyak menyokong dengan pembikinan filem ini. Selain itu kami dedikasikan anugerah ini kepada rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada sejarah industri perfileman negara,” kata Choo.

Choo menerima anugerah tersebut daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dalam majlis anugerah yang diadakan kelmarin yang turut sama dihadiri pelakon filem tersebut seperti Frankie Lee, Joanna Yew dan Sherri Aljeffri.

Pengarah filem ‘The Journey’, Chiu Keng Guan yang berada di Udine, Itali untuk tayangan perdana filem tersebut di Eropah pada Festival Filem Timur Jauh ke-16 berkata ianya menjadi kebanggaan untuk memaparkan nilai-nilai unik rakyat Malaysia dalam filem ‘The Journey’.

“Adalah menjadi kebanggaan bagi diri saya untuk memaparkan nilai-nilai unik rakyat Malaysia kepada penggemar filem di Eropah ini yang rata-ratanya terhibur dan menghargai filem ‘The Journey’. Malah saya turut terharu dengan nilai kemanusiaan universal ini dapat dilontarkan melalui perspektif kita sebagai warga Malaysia dan nampaknya ianya diterima leh penonton global,” kata Chiu.

Tambahnya lagi, tanpa sokongan rakyat Malaysia, filem ini tidak akan mampu bergerak sejauh ini.

Sementara itu, Frankie Lee, 74 yang memegang watak sebagai Uncle Chuan, seorang bapa yang begitu konservatif dalam filem tersebut pula berkata “Ianya merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan selepas membintangi filem ini dan saya hanya sedar bahawa filem ini memnjadi popular dan diterima masyarakat apabila ramai orang di luar sana mula meminta autograf dari saya.

Saya bersyukur filem ini menjadi penentu kepada impian saya untuk lebih berkembang seperti juga belon udara panas yang terdaoat dalam filem tersebut,”.