HUBUNGAN cinta antara ahli kumpulan K-Pop Twice, Jihyo dan bekas anggota kumpulan Wanna One, Kang Daniel sudah berakhir.

Sumber syarikat label muzik Korea Selatan, JYP Entertainment mengesahkan perkara tersebut.

“Benar, mereka sudah putus cinta baru-baru ini,”  kata sumber berkenaan.

Sementara itu, agensi Kang Daniel pula hanya akan mengeluarkan kenyataan setelah mendapatkan pengesahan daripada artisnya.

Menurut laporan Dispatch, kedua-dua penyanyi popular itu mengakhiri hubungan cinta mereka kerana tidak dapat bertemu dengan kerap ekoran jadual kerja yang padat.

Sumber Dispatch juga mendedahkan, kedua-dua artis berkenaan memutuskan untuk memberikan fokus kepada pekerjaan, termasuk persiapan album masing-masing.

Pasangan tersebut pada Ogos 2019  mengakui menjalin hubungan cinta sekalipun dalam masa sama terdapat desas-desus yang mendakwa kedua-duanya bercinta pada awal tahun berkenaan lagi.

Jihyo dan Kang Daniel dilaporkan bertemu selepas diperkenalkan oleh rakan karib mereka yang juga seorang selebriti pada 2018.