"I'm like TT, just like TT..."

Lirik lagu 'TT' oleh kumpulan Korea Selatan terkenal, TWICE ini sesuai menggambarkan perasaan Once (nama kumpulan peminat TWICE) hari ini.

Ia susulan khabar kumpulan k-Pop itu, ‘TWICELAND Zone 2: Fantasy Park’ yang amat dinanti-nantikan oleh Once dibatalkan susulan isu keselamatan.

Pembatalan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 8.30 malam ini di Stadium Malawati, Shah Alam tersebut disahkan syarikat pengurusan JYP Entertainment.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi tersebut, JYP Entertainment memohon kerjasama daripada pihak yang terlibat untuk memahami keputusan yang dibuat.




“Kami memohon maaf kerana konsert Twice 2nd Tour TWICELAND ZONE 2: Fantasy Park yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai dibatalkan atas faktor keselamatan di lokasi konsert.

“Kami memohon kerjasama daripada semua pihak yang terlibat untuk memahami keputusan yang dibuat selepas mengambil faktor keselamatan artis dan penonton yang menjadi keutamaan kami.

“Kami sangat sedih untuk membuat pengumuman ini kepada semua peminat yang menanti-nantikan untuk bertemu TWICE. JYP Entertainment dan TWICE akan berkerja dengan lebih keras,” menurut kenyataan tersebut.

Berikutan itu, penganjur konsert, IME Asia menerusi laman Facebook mengumumkan bahawa maklumat lanjut tentang pemulangan semula wang tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.