KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies akhirnya tampil mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes tangkapan khalwatnya bersama rakan artis, Aliff Aziz pada Jumaat lalu.

Jelas Ruhainies, dia hanya mengajak Aliff ke kediamannya di ibu kota untuk makan malam bersama-sama keluarganya yang didakwa telah kenal sejak 10 tahun lalu. 

Jelas Ruhainies, kakaknya pelakon Risteena sepatutnya sudah datang lebih awal ke rumahnya namun terlewat kerana berdepan dengan kesesakan jalan raya. 

Bagaimanapun, dia berasa takut untuk membuka pintu apabila ada individu (lelaki) yang mengetuk pintu rumahnya atas faktor keselamatan. 

“Walaupun kakak saya datang atau apa, saya mengakui kekhilafan saya di sisi Islam, kerana berada dalam situasi itu yang mana sekaligus menimbulkan syak wasangka serta fitnah. 

“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga menegaskan bahawa hubungannya dengan Aliff sekadar kawan biasa sahaja malah bersedia untuk berbincang dengan Bella kerana sayang akan persahabatan mereka. 

Menerusi kenyataannya itu, Ruhainies juga tampil memohon maaf kerana lambat memberi kenyataan susulan sibuk dengan komitmen kerja. 

“Saya juga ingin memohon kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat. 

“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia,” katanya.




Tambah Ruhainies, dia juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menjalankan siasatan dengan telus sekali gus mengesahkan tiada istilah tangakapan basah dibuat. 

"Siasatan telah dijalankan oleh pihak JAWI dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka. 

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak JAWI di atas kerjasama, penjagaan penuh yang diberikan kepada saya semasa kejadian tersebut berlaku, dan siasatan telus yang telah dibuat oleh pihak JAWI. 

"Namun, yang paling penting di sini adalah bahawa pihak JAWI telah mengesahkan bahawa tidak wujud sebarang 'tangkapan basah' terhadap saya dan Aliff. 

"Saya menyarankan rakan-rakan media dan komen-komen di luar sana untuk berhati-hati menggunakan terma 'tangkapan basah'," katanya. 

Terdahulu, media melaporkan penahanan pasangan pelakon selepas didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah, di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.