Skip to main content

Malaysia

Kubur Besar Wang Kelian: Pesalah kes dihantar pulang setelah selesai jalani hukuman

Empat lelaki warga Thailand yang disabitkan kesalahan dalam kes kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian dipindahkan ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman di Malaysia pada Rabu. - Foto JIM Perlis/Sinar Harian
Empat lelaki warga Thailand yang disabitkan kesalahan dalam kes kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian dipindahkan ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman di Malaysia pada Rabu. - Foto JIM Perlis/Sinar Harian
Advertisement

KANGAR: Enam lelaki warga Thailand termasuk empat pesalah dalam kes berkaitan kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian pada 2015, dihantar pulang ke negara asal mereka semalam setelah selesai menjalani hukuman di Malaysia.

Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A'sim Md Ali berkata empat lelaki berumur antara 31 hingga 61 tahun itu diekstradisi dari Thailand ke Malaysia pada Jun 2023 bagi menghadapi proses perundangan.

Beliau berkata pada 7 Jan, Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap mereka, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], berkaitan kesalahan melindungi migran yang diseludup.

Advertisement

Mohammad A'sim berkata hukuman itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 22 Jun 2023.

“Dua lagi lelaki warga Thailand berumur 32 dan 38 tahun yang dipindahkan (dihantar pulang ke negara asal), turut selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen yang berasingan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], melibatkan peruntukan Seksyen 8(3)(a) dan Seksyen 15(4). Kedua-dua individu ini tidak  terlibat dalam kes ATIPSOM tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Advertisement

Mohammad A'sim berkata kesemua enam individu itu, diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand di Pos Imigresen Wang Kelian dekat Padang Besar, bagi tindakan lanjut mengikut proses perundangan negara berkenaan.

“Pemindahan dilaksanakan menerusi penyelarasan antara pihak berkuasa kedua-dua negara, bagi memastikan urusan penyerahan berjalan dengan teratur. JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) Perlis merakamkan penghargaan atas kerjasama erat dan hubungan strategik yang terjalin dengan pihak berkuasa Thailand,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement