KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan didorong pertimbangan politik, sebaliknya bagi memastikan sistem percukaian negara tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan semula GST ketika pendapatan rakyat masih rendah bukan pilihan yang wajar kerana cukai itu bersifat menyeluruh dan berpotensi meningkatkan tekanan kos sara hidup.
Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan terbuka untuk membuat penyesuaian terhadap sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, termasuk menangani isu cukai berganda yang dibangkitkan pihak industri tanpa perlu beralih kepada GST.
“Saya bukan dogmatik dalam ekonomi. Sistemnya masih SST, tetapi satu dua penyesuaian supaya perbaiki sistem itu, baik. Mengapa kita tak mahu?
“Saya keras tak mahu GST. Bukan soal politik. Apa politiknya? Kalau menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat, saya (akan) teruskan (GST),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu sama ada keengganan kerajaan memperkenalkan semula GST berpunca daripada pendirian politik pemimpin kerajaan terdahulu dan bukannya pertimbangan ekonomi, termasuk isu cukai berganda di bawah SST.
Anwar berkata perbezaan utama antara kedua-dua sistem percukaian itu ialah GST dikenakan secara meluas kepada pengguna, manakala SST lebih tertumpu kepada peringkat perniagaan, meskipun sebahagian bebannya turut boleh dipindahkan kepada pengguna.
Beliau berkata pelaksanaan GST hanya boleh dipertimbangkan apabila pendapatan rakyat meningkat ke paras lebih tinggi, misalnya pendapatan minimum RM4,000, bagi memastikan cukai itu tidak terlalu membebankan golongan berpendapatan rendah.
Katanya tahap pendapatan rakyat ketika ini masih rendah, manakala usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum turut berdepan tentangan daripada sebahagian pihak perniagaan.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan ramai wakil perniagaan besar dalam sesi dialog Belanjawan sebelum ini mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula, namun beliau bimbang beban cukai itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
-- BERNAMA