Ketiadaan atau kurangnya unsur universal serta jalan cerita yang lemah adalah antara punca utama filem tempatan tidak mampu 'pergi jauh' apalagi untuk masuk ke pasaran antarabangsa.

Buktinya, kita dapat lihat kurangnya rakyat Malaysia menonton filem tempatan, walaupun mereka sebenarnya suka menonton.

Menurut kajian, mereka lebih memilih filem luar negara.

Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) Othman Hafsham berkata, "Filem kita jarang berada dalam senarai lima filem teratas pecah panggung yang banyak didominasi filem antarabangsa."

Katanya, sepanjang 2015, kira-kira 68 juta keping tiket dijual bagi semua jenis filem termasuk filem antarabangsa di Malaysia - melebihi jualan tiket di Thailand, Indonesia dan Filipina yang mempunyai lebih ramai penduduk berbanding Malaysia.

Pengarah sitkom popular 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' itu seterusnya berkata walaupun jumlah penonton filem di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara, tetapi jumlah kutipan bagi filem tempatan adalah antara yang terendah.

Dalam temu bual dengan Bernama, Othman berkata filem bersifat universal mempunyai jalan cerita yang boleh diterima dan difahami semua lapisan masyarakat, namun elemen itu didapati kurang dalam filem tempatan.

Menurutnya, penonton boleh faham dan 'relate' (kaitkan) dengan filem arahan Tan Sri P. Ramlee misalnya, kerana ia menampilkan elemen yang berkaitan individu dan masyarakat seperti kekeluargaan, kasih sayang dan emosi.

Ini adalah elemen universal.

"Kalau subjek filem terlalu mendalam tanpa penonton diberi premis untuk faham jalan cerita, mereka takkan boleh 'relate' dan jika itu berlaku, bagaimana anda dapat kongsikan emosi dengan penonton?" katanya.

Othman menarik perhatian, banyak filem contohnya dari Indonesia, Thailand dan Hong Kong mempunyai elemen universal berkenaan hingga ia mudah mendapat tempat dalam kalangan lima filem teratas pecah panggung.

Beliau berkata kajian pihaknya memang menunjukkan penonton tempatan lebih memilih untuk menonton filem luar negara berbanding filem tempatan.

"Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, filem 'Munafik' hanya mampu berada di kedudukan nombor tujuh tahun lepas.

"Tahun 2011 pula, 'KL Gangster' hanya berada di tempat ke sembilan," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kajian FDAM untuk mencari kaedah bagi menghasilkan filem 'boleh dijual'.

"Kebiasaannya, filem boleh dijual melibatkan sesuatu subjek yang mustahil untuk dicapai dan membuatkan penonton tertanya-tanya 'kalau saya dalam keadaan itu (konflik), apa yang akan terjadi? Apa yang akan saya lakukan?'.

"Contohnya filem Munafik yang mengisahkan seorang suami mencari individu yang melanggar lari beliau dan isterinya dan kemalangan itu berlaku di kawasan gelap dan tanpa CCTV (kamera litar tertutup).

"Elemen mustahil sebeginilah meningkatkan rasa ingin tahu penonton tentang apa akan jadi selepas ini dan akan terus menontonnya sehingga tamat," katanya.

Beliau membuat kesimpulan bahawa filem yang mempunyai elemen 'mustahil' beginilah yang lebih mudah mendapat sambutan.

-- BERNAMA