ENTERTAINMENT
[KOLUMNIS] Jejak layar yang hilang
![[KOLUMNIS] Jejak layar yang hilang [KOLUMNIS] Jejak layar yang hilang](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-04/81743834859_tbASEANfilem.jpg)
Penulis (kanan) bersama Pengarah Cambodia Cinema Department, Pok Borak (tengah).
NAMA negara Kemboja sudah sering sampai ke telinga sejak saya kecil lantaran ramai peniaga tekstil berketurunan Melayu Champa yang datang berdagang di kampung saya. Dari situ juga, saya mula mengetahui serba sedikit mengenai jerih derita yang dilalui negara itu ketika melalui zaman pemerintahan Pol Pot dan rejim Khmer Rouge dalam dekad 1970-an.
Pembantaian yang mengorbankan lebih 2 juta nyawa, menjadi tragedi kemanusian yang akan membekas sampai bila-bila oleh sesiapa jua yang terpaksa melaluinya.
Di kampung saya, kepandaian para pedagang Melayu Champa ini berniaga sering digambarkan sebagai simbol kegigihan – ditambah apabila ada di kalangan mereka menjadi sosok usahawan berjaya – hingga dijadikan contoh rujukan dalam mendefinisikan kejayaan dalam kalangan warga tempatan.
Dari cerita zaman kecil saya itu, saya hanya berkesempatan pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Kemboja pada tahun 2012 – dalam Kembara Sinema Indo-China yang saya jalankan – yang sekaligus membuka mata saya tentang dunia filem dan sinema Kemboja. Sebuah industri kecil yang penuh potensi.Dalam sejarah tanah seribu pagoda ini, filem dan sinema mempunyai kisahnya tersendiri. Menyedari filem mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam pelbagai aspek, pemerintahan Pol Pot bukan sahaja mengharamkan filem (dan bentuk kesenian lain), malah turut membakar bagi menghapus jejak sinema di negara ini, termasuklah filem-filem terbitan tahun 1960-an dan 1970-an; yang dikenali sebagai zaman emas sinema Kemboja.
Tindakan itu bagi menghapuskan identiti budaya serta daya intelektual yang dibawa oleh filem – sekaligus menghapuskan kredibiliti raja dan perdana menteri Kemboja, Norodom Sihanouk; yang juga seorang pembikin filem prolifik.

Penulis (kiri) bersama Pengarah Cambodia Film Commision (CFC), Sovichea Ch.
Pada tahun 2023 yang lalu, saya berpeluang sekali lagi menjejakkan kaki ke Phnom Penh – ibu negara tanah Khmer ini - bagi meninjau kembali situasi perfileman di sana setelah lebih 11 tahun dari kunjungan terdahulu. Untuk itu juga, pertemuan dengan beberapa organisasi dan pihak berkaitan juga diatur.
Destinasi pertama yang dituju adalah Cambodia Film Commision (CFC), dengan mengadakan kunjungan hormat kepada pengarahnya; Sovichea Ch. CFC ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai sebuah entiti bebas melalui pembiayaan French Development Agency (AFD) pada peringkat awal - dan kemudiannya mendapat dukungan daripada kerajaan Kemboja.
Seperti mana kelaziman peranan sebuah suruhanjaya filem di seluruh dunia, CFC berperanan khusus dalam menggalakkan penggambaran khususnya produksi luar negara di Kemboja. Dengan hanya empat orang kakitangan sepenuh masa dan ratusan pekerja filem bebas dalam pengkalan data mereka, setiap tahun mereka mengendalikan puluhan produksi luar negara ketika sebelum pandemik - dan kembali beransur pulih kini.
Kekayaan sejarah dan keunikan budaya menarik banyak produksi luar negara dalam mengangkat latar Kemboja di layar. Filem arahan pelakon terkenal Angelina Jolie, `First They Killed My Father` (2017) adalah contoh mudah – salah satu daripada senarai panjangnya.
Saya dibawa melawat CFC yang beroperasi di bangunan tiga tingkat yang disediakan pihak kerajaan, dengan tingkat paling atas dijadikan ‘CineHub’ - iaitu pusat komuniti pembikin filem Kemboja berkumpul; lengkap dengan kafe dan tempat tayangan serta ruang acara terbuka atas bumbung.
Penubuhan CFC ini adalah buah fikir dan sumbangan idea Rithy Panh – suatu nama yang tidak boleh dielak apabila memperkatakan tentang sinema Kemboja pasca Khmer Rouge. Beliau yang asalnya pelarian akibat krisis Khmer Rouge – membawa diri ke Perancis dan melanjutkan pengajian di sana - kini merupakan seorang tokoh pembikin filem dan susuk penting sinema Kemboja. Filem arahannya, The Missing Picture (2013) menjadi filem Kemboja pertama yang dicalonkan di Academy Award dalam ketagori filem bahasa asing terbaik.
Beliau jugalah yang mengasaskan destinasi kunjungan saya yang seterusnya; Bophana Audiovisual Resource Center (Bophana Center).
Bophana Center adalah sebuah organisasi bebas tidak berteras keuntungan yang dibangunkan dengan tiga peranan utama iaitu sebagai arkib audiovisual, pusat latihan perfileman dan ruang aktiviti seni. Nama Bophana diambil inspirasi dari nama seorang mangsa yang ditangkap, didera dan dibunuh oleh rejim Khmer Rogue pada tahun 1977.
Dikendalikan seramai 30 kakitangan sepenuh masa, dan beberapa sukarelawan luar negara, antara fokus utama mereka kini adalah mengumpul kembali filem dan rakaman berkaitan Kemboja yang tersebar di seluruh dunia – untuk dibawa pulang salinannya. Mereka bernasib baik kerana ketika Pol Pot cuba menghapuskan sepenuhnya filem-filem Kemboja, ada di kalangan pembikin dan peminat filem yang menyorokkan serta membawa lari filem-filem yang cuba dimusnahkan ke luar negara.
Selain itu, mereka juga mengusahakan penerbitan-penerbitan baharu bagi mengkonstruksi semula wajah dan identiti Kemboja yang cuba dilenyapkan oleh Pol Pot. Pusat ini kini menyimpan dan memelihara lebih 5,000 koleksi audiovisual dalam bentuk video, foto dan audio. Menariknya, mereka juga membangunkan perisian sistem simpanan dan carian digital mereka sendiri secara dalaman - dikenali sebagai ‘Hanuman’ - bagi mempermudahkan aksesibiliti kepada pengunjung.
Saya dibawa melawat pusat yang diasaskan tahun 2006 ini oleh Pengarah Eksekutifnya, Mr Chea Sopheap. Saya turut menyerahkan buku ‘Malaysia’s Audiovisual Heritage’ yang saya usahakan dan ‘Malaysian Cinema in a Bottle’ tulisan sejarawan filem Malaysia - Hassan Abd Muthalib - untuk rujukan pengunjung perpustakaan di pusat ini.
Selang sehari kemudian, saya menghadiri pertemuan dan makan tengah hari dengan Pengarah Cambodia Film Department, Pok Borak – yang diatur oleh beliau di salah sebuah restoran di bandar tersebut. Cambodia Film Department adalah agensi kerajaan di bawah Kementerian Kebudayaan & Seni Halus Kemboja yang menjadi pihak berkuasa serta agensi pembangunan industri filem di Kemboja.
Saya diberikan penerangan tentang beberapa polisi dan dasar Kemboja dalam menggalakkan sektor industri kreatif dan perfileman – termasuklah inisiatif galakan cukai dan pembinaan jaringan antarabangsa.
Bagi Malaysia, hubungan akrab dengan industri perfileman di Kemboja sememangnya telah ada sejak sekian lama – apabila kemasukan pelabur dan ahli perniagaan Malaysia sejak tahun 2012 – yang telah memberikan nafas baharu kepada dunia perfileman Kemboja. Ini merujuk kepada rangkaian pawagam terbesar di Kemboja, Legend Cinema serta antara syarikat media utama di sana, Westec Media Limited (WML).
Dalam kunjungan kali ini juga, saya juga sempat mengatur makan malam bersama Timbalan Menteri Agama & Kepercayaan (Ministry of Cults & Religion), Hj Yob Ahskary yang juga telah mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak sekian lama. Beliau sering menjadi perantara dalam usaha diplomasi kedua negara – terutamanya yang berkait hubungan komuniti Islam di kedua negara.
Beliau optimis terhadap bagaimana peranan filem dan media mampu merakam hubungan baik kedua negara yang telah lama terbina.
Perbualan dengan beliau mengingatkan saya kepada kisah pedagang Melayu Champa pernah mengisi kisah zaman kecil saya. Menghubungkan semula kisah – mengingatkan tentang sejauh mana pun identiti dan intelektual cuba dibunuh dalam sejarah – namun filem akan tetap utuh menjadi perakam setia – termasuklah menjentik kemanusiaan melalui kisah-kisah yang ada di wilayah kita ini.
Sejarah Kemboja membuktikan signifikan besar filem dan sinema dalam membina naratif tentang gagasan besar ingin di tuju – termasuklah dalam usaha membina ASEAN dengan penyatuan dalam kepelbagaian.
Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com
* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami