KUALA LUMPUR: Tiga tahun hidup sebagai gelandangan, komposer dan pemuzik, Ross Ariffin, 61, boleh menarik nafas lega apabila diberikan bantuan sebuah rumah bagi membolehkan dia menjalani hidup dengan selesa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, pihaknya menjejaki dan bertemu sendiri dengan Ross atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, selepas mendengar perkhabaran sedih mengenai komposer terkenal itu.

"Saya mohon pertimbangan daripada Dr Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah untuk mengenal pasti sebuah unit PPR dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau.

"Semasa melangkah masuk rumah PPR baharu, Ross macam tak percaya dia akhirnya mempunyai sebuah rumah sendiri untuk diduduki selepas tiga tahun menjadi gelandangan," kata Fahmi dalam kemas kini di media sosial miliknya.


Komposer yang pernah mencipta lagu untuk nama-nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz itu juga bakal kembali berkarya menerusi kerjasama dengan RTM.

"Saya juga berbincang dengan pihak RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu bersama RTM supaya dia dapat bangkit semula.

"Kami bertemu Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani untuk merancang penerbitan lagu baharu yang boleh beliau gubah. Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya," tulis Fahmi.

Kata Fahmi lagi, Ross masih mempunyai tekad dan iltizam untuk kembali berkarya, dan pihaknya akan terus membantu bagi membolehkannya kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara.

Untuk rekod, antara lagu-lagu popular karya Ross adalah Kau dan Aku (Ning Baizura), Dia (Fauziah Latiff) dan Ceritera Cinta (Jaclyn Victor dan Rio Febian).

Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan kepada Ross menerusi akaun di bawah:

Roslan Ariffin Bin Jamil
Akaun BSN: 0410041100013234