ENTERTAINMENT
Konsert MeleTOP TVS dan Hello Miri & untuk warga Sarawak Mei ini

Hello Miri, yang turut dijayakan Astro Rewards, memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan selebriti tanah air sebelum Konsert MeleTOP TVS pada 17 Mei. - Astro
KUALA LUMPUR: Warga Borneo bersedia untuk hiburan paling mantap tahun ini apabila Astro, dengan kerjasama TVS, akan membawakan Konsert MeleTOP TVS dan buah tangan istimewa dari Astro buat orang Sarawak dengan Hello Miri di Sarawak.
Konsert MeleTOP yang julung kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia akan berlangsung pada 17 Mei ini di Stadium Tertutup Bandaraya Miri.
Seminggu sebelum konsert tersebut, Astro akan membawakan Hello Miri pada 9 hingga 11 Mei di Permaisuri Imperial City Mall sebagai penaja lokasi.
Hello Miri, yang turut dijayakan bersama oleh Astro Rewards, memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan selebriti tanah air seperti Nadhir Nasar, Noryn Aziz, Niki Palikat, Tomok, Siti Saleha, Mierul Aiman, serta pelakon drama ‘Little Nyonya’ seperti Zhang Ze Tong dan Tyler Ten.
Aktiviti lain termasuk pra-tonton kandungan terbaharu Astro serta demonstrasi produk.
Selain penampilan artis, Hello Miri turut menganjurkan uji bakat Kilauan Emas pada 9 Mei, bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.
Antara yang tidak sabar bertemu peminatnya di Miri adalah penyanyi dan pelakon, Tomok.
“Ramai selebriti yang terlibat menjayakan aktiviti selama tiga hari program ini berlangsung. Banyak aktiviti yang dijalankan daripada pagi sampai malam dan kita akan adakan juga audition Kilauan Emas.
“Ada banyak aktiviti yang Astro jalankan dekat sana, jadi saya yakin dia akan dapat sambutan daripada peminat di luar sana, secara tidak langsung kita boleh menguar-uarkan Konsert MeleTOP TVS yang akan berlangsung pada 17 haribulan, InsyaAllah,” kata Tomok yang ditemui pada sidang media pada Selasa.
Sementara itu, Konsert MeleTOP TVS akan menyatukan keindahan warisan Borneo dengan budaya pop masa kini.
Ia menampilkan nama-nama besar seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong (Miss Universe Malaysia 2020), Hairee Francis, Wani Kayrie dan juga Noki.
“Kami di Astro amat berbesar hati dapat menggabungkan dua jenama besar dunia hiburan tanah air, iaitu MeleTOP & TVS untuk membawakan barisan penghibur tersohor Malaysia ke Stadium Bandaraya Miri pada satu malam yang tidak dapat dilupakan,” kata Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.
“Konsert ini bakal menyatukan artis seluruh Malaysia dan meraikan kepelbagaian etnik dan budaya”
“Muzik sentiasa menyatukan kita semua, dan konsert ini adalah platform di mana kita menzahirkan kebersamaan dalam kepelbagaian.”
Sementara itu, penyanyi Sabah, Marsha Milan teruja dengan Konsert MeleTOP TVS yang akan mengumpulkan artis-artis kepulauan Borneo di sebuah pentas yang besar.
“Saya secara langsung ternanti-nanti dan amat teruja untuk consort ini sebab saya akan menyanyikan lagu-lagu yang dalam album Borneo saya sendiri, Misompuru”
“Saya rasa majoriti penyanyi-penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam itu adalah Borneo sendiri.”
“Jadi saya rasa itu adalah satu benda yang sangat-sangat special sebab walaupun kita berada dalam industri yang sama susah kadang-kadang nak dapat semua untuk ada atas satu pentas yang besar dan gah.” kata Marsha.
Konsert MeleTOP TVS akan menyaksikan gandingan pengacara MeleTOP dan TVS, seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana serta Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh dari TVS, sementara Hello Miri akan dihoskan Munabella dan Keanu Azman.
Untuk makluman lanjut, boleh layari laman sosial Instagram @astromalaysia dan @sookamalaysia dan @meletop.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami