PARA selebriti dan kumpulan peminat bergabung dalam konsert penghormatan terakhir yang berlangsung penuh emosi selama tujuh jam, bagi mengucapkan selamat tinggal kepada penyanyi lagenda Aretha Franklin.

Penyanyi yang dikenali sebagai Ratu Soul itu meninggal dunia pada usia 76 tahun pada 16 Ogos lalu.

Bintang pop Ariana Grande hadir dengan menyanyikan salah satu lagu wajib Franklin A Natural Woman di konsert peringatan itu.

Manakala, persembahan oleh juri The Voice Jennifer Hudson adalah salah satu momen terbesar di majlis penghormatan di Detroit dengan mendedangkan lagu Amazing Grace.

Peminat Aretha Franklin pula dilihat beratur berjam-jam sebelum konsert bermula bagi merebut tempat di 1,000 kerusi yang dibuka kepada orang ramai pada hari pengebumian bintangnya.

Ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak pernah bertemu dengannya, tetapi merasakan mereka mengenali Aretha dengan mendalam menerusi lagu-lagunya.

Dalam masa yang sama, lebih daripada 140 kereta Cadillac merah jambu telah mengambil bahagian dalam proses pemakaman merujuk kepada lagu popular nyanyian Franklin Freeway of Love sekitar tahun 1985 yang berkisarkan tentang Cadillac.

Sementara itu, tiga bekas presiden Amerika Syarikat memberikan penghormatan terakhir mereka.

Barack Obama tidak dapat hadir di majlis pengebumian, tetapi menghantar ucapan untuk dibacakan.

Mesejnya berkata: "Melalui suaranya, Aretha memberi kekuatan kepada berjuta-juta orang dan memberi inspirasi kepada orang-orang yang terdedah, yang tertindas, dan semua orang yang memerlukan sedikit cinta."

George W. Bush juga menghantar surat kepada keluarga Franklin, manakala Bill Clinton menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan dengan berkata: "Ia suara generasi, mungkin suara abad ini."