KUALA LUMPUR : Tahun ini, genap 25 tahun penyanyi terkenal dari Indonesia, Datuk Seri Rossa berada dalam industri nyanyian.

Penyanyi berusia 43 tahun itu membawa khabar gembira untuk peminat apabila bakal mengadakan Konsert Rossa 25 Shining Years bagi meraikan perjalanan kariernya selama lebih dua dekad dalam industri muzik Indonesia.

Konsert itu bakal berlangsung pada 27 Mei ini di Istora Senayan, Jakarta.

Menurut Rossa, kira-kira 27 lagu akan dinyanyikan pada konsert itu nanti.

Antaranya, lagu-lagu hit seperti Terlanjur Cinta, Wanita Yang Kau Pilih, Hijrah Cinta dan Memeluk Bulan.

Kata Rossa lagi, pemilihan 'Shining' pada konsert kali ini sebagai tanda sinaran atau kilauan kepada setiap insan sepanjang 25 tahun dalam karier nyanyian.

"Shining itu aku pilih kerana pertama, pasti semua ingin berkilau. Semua orang mahu bersinar dalam hidupnya, jadi selama 25 tahun ini aku menganggapnya berkilau iaitu bukan sekadar satu warna sahaja, namun warnanya bisa banyak, jadi aku memilih '25 Shining Years'," katanya dalam sidang media Konsert Rossa 25 Shining Years di Jakarta, Indonesia pada Selasa.

Konsert mega itu juga akan melibatkan empat pengarah muzik termasuk Andi Rianto dan Orkestranya.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa artis jemputan termasuk Ariel Noah, Afgan, Boy William dan Lyodra.

Selepas Konsert Rossa 25 Shining Years, Rossa akan turut mengadakan konsert di Surabaya dan Bandung pada Jun dan Julai depan.

Berbaki 10 hari lagi, peminat yang ingin ke konsert Rossa, boleh mendapatkan tiket-tiket di tiket.com.

Dedah rahsia bertahan selama 25 tahun

Pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani ini turut mendedahkan rahsia bagaimana beliau boleh bertahan selama 25 tahun dalam industri seni.

Paling utama katanya ialah rakan-rakan yang sentiasa ada untuk memberi sokongan dan semangat dalam apa jua dilakukan sehingga ke hari ini.

Dalam masa sama, Rossa sentiasa bersikap tidak mudah selesa dengan kehidupan, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan sesuatu untuk diri dan orang sekeliling.

Justeru, beliau terlibat dengan perniagaan dan setiap dilakukan memastikannya sentiasa kekal di hati peminat.

"Kalau aku bilang aku bisa berteman dan aku bisa enjoy dikelilingi sahabat aku. Dalam perniagaan, aku fikir manusia tidak boleh bangga dengan apa diraih sekarang, jadi aku menceburi bidang perniagaan.

"Kalau dalam perniagaan, manusia itu tidak boleh bangga dengan apa yang diraih, aku belajar untuk berniaga, aku ada Rossa Beauty, F&B, dan aku mula menubuhkan syarikatku, Insipired, untuk menginspirasikan semua orang di mana semua konsert dibuat oleh Inspire Recording.

"Kini, aku sedang mencari talent baharu untuk jadi artis baharu. Inspired ini juga punya banyak mimpi dan mudahan ia bisa terwujud, semakin membesar dan bisa membantuku untuk terus relevan dan memanjangkan karier aku dan bisnes, serta akan memberi manfaat kepada orang lain," ujarnya.