PELAKON Rita Rudaini mendedahkan dia pernah dihubungi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk satu pertemuan tahun lalu, namun memilih untuk tidak meneruskannya selepas mendapat maklumat mengenai persatuan itu.

Menerusi entri di Instagram, Rita memaklumkan PFA pernah menghubunginya, dipercayai ada kena mengena dengan kelab bola sepak RR Cougars FC yang ditubuhkannya tahun lepas.

"Saya tak pandang tawaran atau wang ringgit. Saya banyak 'kaki', dan bila dapat maklumat, saya putuskan untuk tidak jumpa mereka," tulis Rita.

Tambah Rita lagi, kemelut yang melanda PFA sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat di Perlis, khususnya peminat bola sepak.


"Saya sebagai rakyat Perlis rasa terhina dan malu apabila jadi begini. Bola sepak bukan seronok-seronok, bukan untuk glamour. Itu pekerjaan dan sumber rezeki mereka," kata Rita kesal.

Pelakon Anak Mami itu juga meminta pihak berwajib untuk turun padang dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian kerana ramai antara pemain Perlis pernah menyarung jersi kebangsaan.