ISTANBUL: Kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk membantu mencipta "lagu Beatles terakhir," yang djangka dikeluarkan akhir tahun ini, kata pemuzik legenda dan bekas anggota Beatles Paul McCartney.

"Apabila kami mahu menghasilkan lagu Beatles terakhir, ia adalah demo milik John (Lennon) yang kami usahakan," pemuzik berusia 80 tahun itu memberitahu BBC Radio 4 pada Selasa, merujuk kepada mendiang yang meninggal dunia pada tahun 1980.

"Kami baru sahaja menyiapkannya dan ia akan dikeluarkan tahun ini.Kami dapat mengambil suara John dan menjadikannya tulen melalui AI, jadi kami boleh mencampurkan lagu itu, seperti yang biasa anda lakukan.

"Terdapat sisi baik dan kemudian sisi yang menakutkan, kita hanya perlu melihat apa yang membawanya," lapor Agensi Anadolu memetik pemuzik ikonik itu.

Walaupun McCartney tidak mendedahkan nama lagu itu, menurut BBC, ia berkemungkinan lagu gubahan Lennon pada 1978 berjudul 'Now And Then'.

Gubahan itu sudah lama dianggap sebagai potensi "lagu reunion" The Beatles semasa kompilasi album Anthology pada 1995, katanya.

Beliau memperoleh demo setahun lebih awal daripada balu Lennon, Yoko Ono, kerana ia adalah satu daripada beberapa lagu pada kaset yang ditandakan "Untuk Paul" yang Lennon buat sejurus sebelum kematiannya pada 1980.

McCartney mengumumkan The Beatles telah berpecah secara rasmi pada tahun 1970, sebelum kumpulan itu mengeluarkan lagu ikonik Let It Be.

Pada tahun 1980 Lennon kembali aktif apabila dia mula menulis lagu dan merakam album dengan Ono, Double Fantasy. Beberapa minggu selepas pelancaran album, Mark David Chapman, menembak mati Lennon di hadapan pangsapurinya di New York City.

-- BERNAMA