PELAKON Jasmin Hamid memohon bantuan orang ramai untuk mengesan sebuah kenderaan berwarna hitam yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari adik iparnya.

Menerusi perkongsian terbaharu di akaun Instagramnya, Jasmin memaklumkan adik iparnya mengalami kecederaan teruk iaitu patah tangan kanan dan juga tulangnya hancur.

“Saya mohon pertolongan dan ihsan kalian untuk menjejaki nombor plat kereta hitam seperti dalam gambar ini, yang telah melanggar lari adik ipar saya pada 9 Feb 2022 dan menyebabkan tangan kanan adik ipar saya patah dan tulangnya hancur.

“Kejadian pada 8.45 pagi pada 9 Feb 2020 di Jalan Changkat Bukit Bintang..

“Kereta hitam tersebut telah menggesel motor adik ipar saya semasa dia hendak naik motor semula selepas keluar dari kedai runcit yang terletak di tepi jalan Changkat Bukit Bintang dan menyebabkan dia jatuh terseret dan dihempap oleh motornya,” kongsinya.


Tambah Jasmin lagi, orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian berkata kereta hitam terbabit dipandu dengan agak laju.

"Menurut maklumat dari orang- orang sekitar yang tolong adik ipar saya semasa kejadian dan menerusi CCTV yang di perolehi dari kedai berhampiran tempat kejadian, kereta hitam tersebut di pandu agak laju di kawasan kedai tersebut dan dia berhenti agak jauh ke hadapan selepas melanggar adik ipar saya tetapi bila dia lihat ada orang yang tolong adik ipar saya yang jatuh, dia terus pergi tanpa berpatah balik.

"Kereta itu di pandu oleh seorang wanita dan pakai memakai pelitup muka," maklumnya lagi.

Sehubungan itu, Jasmin meminta wanita terbabit untuk tampil dan bertanggungjawab ke atas insiden itu.

“Mohon pemandu tersebut tampil untuk tolong kami dan bertanggungjawab di atas kejadian ini.

“Kami telah pun buat laporan polis sebaik selepas kejadian dan kes telah disiasat tetapi malangnya masih tak dapat kesan nombor plat kereta hitam tersebut dan kes telah ditutup.

"Kami cuma diberi peluang untuk buka kes balik jika ada maklumat tentang nombor plat kereta hitam tersebut.

"Oleh itu saya mohon jasa baik dan ihsan kalian jika ada maklumat tentang kejadian dan dapat kesan nombor plat kereta hitam tersebut seperti dalam gambar ini. Pertolongan kalian amatlah saya hargai.

"Ini adalah ikthiar kami anak beranak dan selebihnya saya serahkan pada Allah. Sila DM saya," tulisnya.