Datuk Norman Abd Halim ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, ketika ini dia tidak dapat berkongsi secara lanjut mengenai kelainan itu namun dia menjanjikan rangkuman setlist yang membuatkan penonton sukar move on.
"Sudah tentu terkejut dengan sambutan luar biasa, saya hilang kata-kata lihat peminat bersorak dalam arena. Alhamdulillah untuk malam ketiga dan keempat nanti, pastinya kami akan cuba bawa kelainan. Kita cuba berlaku adil kepada semua yang telah datang pada konsert malam pertama dan kedua.
"Tapi bagi KRU sendiri, sudah pasti kami mahu ada penambahbaikan dan kami cuba beri sesuatu yang berbeza. Ada pertukaran lagu dan pastinya ini memberikan satu hujung minggu yang signifikan sempena sambutan Hari Ibu," katanya.
Tambah Norman, dia akui hilang kata-kata mendengar sorakan peminat pada konsert pada hujung minggu lalu.
"Energi di Axiata Arena memang berbeza. Tujuh tahun lalu kami buat persembahan di Istana Budaya, penonton sekitar 1,400 sahaja. Kali ini lebih 10,000 orang, sudah tentu sorakan penonton lebih kuat dan bila dengar, saya hilang kata.
"Sudah tentu kami tidak mahu hampakan peminat dan sebagai balasan, energi yang kami salurkan dari pentas juga sudah tentu bakal menjadi kenangan abadi buat peminat yang sentiasa menyokong karier kami sejak awal pembabitan dalam dunia seni," katanya.
Ketika ditanya sama ada KRU mahu mengadakan konsert berskala besar dengan lebih kerap selepas melihat sambutan luar biasa, Norman berkata ia hanya akan terjadi apabila trio adik beradik ini mendapat ilham serta kesesuaian jadual.
"Terus terang kami buat ini (konsert) berdasarkan minat bukan berdasarkan kejar kewangan dan sebagainya. Apa yang pastinya, kami buat persembahan sejujur mana yang boleh.
"Kalau sekiranya tiada apa pembaharuan kami nak bawa, kami tak akan buat. Itu sebabnya kami keluarkan album baharu (album Kaset) seterusnya jadikan konsert GenKRU ini kerana ada sesuatu baharu yang kami nak persembahkan. Kalau cakap ada konsert seterusnya (tahun depan), ia bergantung kepada ilham juga. Datang ilham maka jadilah," katanya.
