Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan menjalinkan kerjasama lima tahun dengan 16 rakan strategik untuk memperluas akses saringan, intervensi dan rawatan obesiti di Malaysia.
- Kerjasama merangkumi promosi kesihatan, saringan, rawatan, latihan, sokongan digital dan khidmat rundingan teknikal, berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.
- NHMS 2023 melaporkan 54.4 peratus dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan kanser.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalin kerjasama lima tahun dengan 16 rakan strategik bagi memperluas akses kepada saringan, intervensi dan rawatan obesiti di fasiliti kesihatan serta peringkat komuniti.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerjasama melibatkan badan berkanun, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mencerminkan keperluan pendekatan menyeluruh yang merentas sektor kesihatan dalam usaha mencegah dan mengatasi obesiti.
Beliau berkata enam bidang utama kerjasama itu merangkumi promosi kesihatan, saringan, akses kepada rawatan, latihan dan pembangunan kapasiti, sokongan digital serta khidmat rundingan teknikal.
"Kerjasama ini perlu berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti, dengan kepentingan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan," katanya ketika merasmikan Persidangan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCDM) 2026 di Taylor's University dekat sini, hari ini.
Antara 16 rakan strategik yang terlibat ialah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Persatuan Obesiti Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia, Persatuan Kajian Obesiti Malaysia dan Persatuan Pakar Bedah Gastrointestinal Atas Malaysia.
Persidangan tiga hari hingga Ahad itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) secara simbolik antara KKM dengan rakan strategiknya, selain pelancaran Buku Resipi Mai Kurang Jilid 2.
Menurut ringkasan MoU itu, kerjasama tersebut turut memberikan tumpuan pada peluasan akses kepada terapi pemakanan, preskripsi senaman, rawatan farmakoterapi serta pembedahan bariatrik metabolik sebagai sebahagian daripada pengurusan obesiti secara menyeluruh.
Dr Dzulkefly berkata kerjasama itu juga menyokong pelaksanaan perkhidmatan Pengurusan Obesiti Bersepadu Pelbagai Disiplin (MIMO) yang kini disediakan di 33 klinik kesihatan dan 14 hospital KKM di seluruh negara.
Beliau berkata perkhidmatan itu mengukuhkan penyelarasan rawatan menerusi pendekatan pelbagai disiplin yang berasaskan bukti saintifik, berteraskan ihsan dan bebas daripada stigma.
Dr Dzulkefly berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus meningkatkan risiko diabetes, penyakit kardiovaskular, strok dan beberapa jenis kanser.
"Obesiti ialah penyakit kronik yang kompleks dan dipengaruhi faktor biologi, genetik, persekitaran, sosial serta tingkah laku. Ia bukan sekadar soal pilihan peribadi atau kekurangan disiplin," katanya.
Mengulas mengenai buku itu, Dr Dzulkefly berkata ia memuatkan 35 resipi baharu, menjadikan keseluruhan 65 resipi selepas 30 resipi diterbitkan dalam jilid pertama.
Antara resipi yang diketengahkan dalam Jilid 2 ialah laksa asam, nasi ayam Hainan, ikan kembung percik dan kari ayam dalam versi lebih sihat.
Beliau berkata resipi itu akan diterapkan dalam Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (IPASS) bagi sektor awam dan Program Kesihatan Tempat Kerja Bersepadu (IWHP) bagi sektor swasta untuk menggalakkan amalan pemakan lebih sihat tanpa mengetepikan cita rasa dan kebebasan memilih.
-- BERNAMA