Ringkasan AI
- Tahap pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) kini mencapai 84 peratus dengan keberkesanan 71 peratus selepas sepuluh tahun diperkenalkan.
- Kerajaan berhasrat mencapai 100 peratus pelaksanaan DPTN dalam dua hingga tiga tahun melalui ujian dan akreditasi berterusan serta memperluas pendidikan tahfiz kepada OKU.
- Kerajaan menyasarkan melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, dengan laluan pendidikan berterusan dari pra-tahfiz hingga ke peringkat universiti.
BAGAN DATUK: Tahap pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) kini mencapai 84 peratus dengan tahap keberkesanan pada 71 peratus selepas sedekad diperkenalkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan berazam meningkatkan pencapaian pelaksanaan dasar itu sehingga 100 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang menerusi proses ujian serta akreditasi berterusan.
Beliau memaklumkan lonjakan positif dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dipacu oleh tahap disiplin tinggi serta fokus pelajar tahfiz selain penerapan nilai tambah dalam bidang akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Saya fikir dalam dua tiga tahun akan datang ini bila kita melakukan ujian dan memberikan akreditasi ia (pelaksanaan dan keberkesanan DPTN) boleh dicapai 100 peratus, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan 26K Huffaz 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat di Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan Buku Laporan Kejayaan dan Pencapaian DPTN.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Muhyidin Aziz@Saari.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata kerajaan turut memperluas pendidikan tahfiz kepada golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak autistik di 132 Tabika Tunas Istimewa, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mulai 2 Jan tahun depan.
“Dan saya yakin mereka mempunyai kemampuan untuk penghafazan kerana ada permasalahan dalam kalangan mereka untuk fokus tetapi saya yakin ada metodologi, pedagogi yang boleh diterapkan agar fokus untuk penghafalan itu boleh dilakukan.
“Kita telah buat ujian di tiga tabika di Melaka, tahapnya cukup baik dan saya yakin mulai 2 Jan tahun depan apabila kita melaksanakan di seluruh negara, di 132 tabika autisme itu,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 bagi memastikan golongan itu bukan sahaja dihormati kerana hafazan, malah cemerlang antaranya sebagai doktor, jurutera dan akauntan.
Ahmad Zahid berkata laluan pendidikan berkesinambungan kini disediakan bermula daripada 225,000 murid Pra-Tahfiz KEMAS, 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab sehinggalah ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan tujuh universiti Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
"Kerajaan mahu generasi huffaz bukan sahaja dimuliakan kerana hafazan mereka tetapi turut disegani kerana keilmuan mereka, dihormati kerana kepakaran mereka dan diperlukan kerana sumbangan mereka," katanya.
Beliau berkata penilaian Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) tahun ini melibatkan 27 institusi tahfiz mencatatkan purata pencapaian keseluruhan 87.26 peratus dengan 10 institusi tahfiz cemerlang masing-masing menerima insentif RM50,000.
Sementara itu, acara hari ini yang berlangsung sejak semalam menghimpunkan para huffaz, ulama, asatizah dan masyarakat menerusi pelbagai pengisian ilmu, pameran artifak serta majlis bermunajat demi kesejahteraan negara.
-- BERNAMA