KUALA LUMPUR: Hati ibu mana tidak gelisah, risau dan takut apabila anak kesayangan hilang dari pandangan mata.

Apa lagi anak itu pula seorang yang istimewa, tentu sekali, kegelisahan dan kebimbangan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dilalui pelakon dan usahawan Zarina Zainuddin apabila anaknya, Muhammad Razil Azrai yang juga seorang autisme ‘hilang’ dalam keriuhan di Bazar Ramadan MBSA di Stadium Shah Alam pada petang Sabtu.

‘Kehilangan’  Razil berlaku dalam sekelip mata tanpa disedari Zarina atau suaminya.

Awalnya, Zarina mengajak kembar Razil iaitu Muhammad Raizal Azrai untuk menemaninya membeli juadah berbuka di bazar berkenaan.

Ketika itu, Razil ditinggalkan dalam kereta bersama suaminya sebelum anaknya itu meninggalkan kenderaan apabila melihat ibu dan kembarnya sedang berjalan-jalan menuju bazar.

Sangkaan suami Zarina, anak mereka itu mahu menyertai ibu dan kembarnya.

“Saya dan Raizal langsung tak sedar yang Razil nak ikut kami. Suami saya pula menyangka Razil mahu ikut kami. Jadi, masing-masing terlepas pandang.

“Sehinggalah selesai membeli juadah, saya kembali ke kereta dan bertanya pada suami di mana Razil yang akhirnya membuatkan kami sama-sama tergamam. Tidak menunggu lama, saya terus kembali ke bazar dan mencari anak saya,” kata Zarina kepada Astro AWANI berkongsi detik-detik cemas yang dilaluinya.



Tanpa menunggu lama juga, Zarina yang turut membuka gerai di bazar Ramadan berkenaan turut memaklumkan mengenai ‘kehilangan’ anaknya itu secara langsung di akaun Instagramnya dengan harapan orang ramai akan membantu menjejaki .

Untuk makluman, setiap peniaga di bazar berkenaan dibenarkan untuk membawa kenderaan mereka untuk diparkir di belakang gerai.

Dalam kereta itu, Razil dan ayahnya berehat setiap kali Zarina sibuk di gerai menjual pulut kuning yang juga juadah jualan artis itu yang sangat popular.

“Hampir sejam juga saya dan Raizal mencari Razil. Mulanya kami fikir dia mahu ke tandas, cuba mencarinya di sana dia tiada… sehinggalah satu bazar kami pusing,” cerita Zarina yang mengakui air matanya tumpah kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada anak kesayangan berusia 25 tahun itu.

Selepas lelah dan puas mencari Razil, Zarina terfikir untuk menghubungi pembantu peribadinya yang kebetulan memandu kereta lain yang diletakkan di luar bazar itu untuk memaklumkan mengenai ‘kehilangan’ anaknya itu.

Tidak lama selepas itu, pembantu Zarina menghubunginya dan memaklumkan Razil sedang berjalan menuju ke keretanya.

“Bila dengar Razil berjalan ke arah kereta pembantu saya terus bergegas mencarinya. Bila nampak wajah Razil, hilang kebimbangan, kerisauan dan ketakutan saya. Syukur pada Allah kerana Razil selamat,” ujar Zarina yang tidak henti-henti mengucapkan kesyukuran.

Sebagai seorang anak yang dilahirkan istimewa, perhatian Zarina dan seluruh ahli keluarganya tertumpu pada Razil.

Sebelum ini pun, Razil sudah beberapa kali pernah ‘hilang’ sama ada di pusat beli-belah atau dalam keramaian.

“Namun, kali ini di bazar Ramadan. Sudahlah orang ramai, gerai banyak… risaunya saya hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi syukur, dia boleh terfikir untuk mencari kereta pembantu saya… leganya saya,” kata Zarina lagi.