HIBURAN
MACP jelajah Malaysia Timur 2025 kukuh kesedaran hak cipta

Jelajah itu menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat mengenai hak cipta dan hak ekonomi kepada komuniti kreatif secara langsung. - Instagram - kupikupifmsabah
KUALA LUMPUR: Penganjuran program Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 oleh Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad adalah satu usaha mengeratkan hubungan dengan komuniti kreatif tempatan serta meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan hak cipta.
Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP, Roger Wang, berkata program itu adalah permulaan baik untuk memperkukuh industri muzik di Sabah.
“Ini merupakan satu langkah permulaan yang baik bagi MACP di Sabah. Saya yakin inisiatif sebegini mampu memartabatkan lagi industri muzik tempatan dan melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti khususnya di negeri Sabah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap, pula menegaskan jelajah tersebut menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat mengenai hak cipta dan hak ekonomi kepada komuniti kreatif secara langsung.Menurutnya, MACP komited mewujudkan ekosistem muzik yang komprehensif, termasuk melindungi lagu tempatan serta antarabangsa. Penubuhan Music Rights Sabah (MRS) sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif turut dilihat melengkapkan peranan MACP dalam memastikan kutipan royalti dijalankan dengan menyeluruh.
Acara tersebut menampilkan pelbagai sesi interaktif antaranya “Ruang Sembang bersama MACP”, “Apa Kata Penerbit Muzik?” bersama wakil Taja Archive Sdn Bhd, serta “Rentak Borneo, Irama Negeri Di Bawah Bayu” yang menampilkan komposer dan penyanyi Velvet Aduk serta penulis lirik Nazri Saidali. Turut memeriahkan program ialah “Riuh Bah Bersama Kupi-Kupi FM” serta persembahan artis-artis tempatan.
Dalam sesi perkongsian, MACP turut membangkitkan isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam muzik, dengan menegaskan hanya karya ciptaan manusia yang layak didaftarkan. Selain itu, ahli MACP dijamin menerima royalti persembahan daripada pelbagai platform berlesen seperti Spotify, Apple Music, YouTube, TikTok, Disney+, Meta, serta stesen radio, televisyen dan premis perniagaan.
MACP berhasrat agar penggiat seni di Sabah memahami bahawa karya mereka mempunyai nilai yang sangat besar, bukan sahaja dari aspek seni tetapi juga dari sudut ekonomi.
Sehubungan itu, MACP menyeru kerjasama penuh daripada pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam memperkukuh perlindungan hak cipta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami