BANGKOK: Pelawak Amerika Syarikat, Conan O’Brien, dikenal pasti berada di Thailand untuk menjalani penggambaran sebuah rancangan berunsur pengalaman kembara.

Bekas pengacara program bual biacara santai, Late Night with Conan O’Brien itu juga tidak keberatan menciap pengalaman dan aktivitinya di Negara Gajah Putih berkenaan menerusi akaun Twitter, berserta kata-kata lucu yang menjadi identiti dirinya.

Dalam salah satu gambar yang dikongsi menunjukkan O'Brien sedang mengamati snek tradisional jalanan Thailand, iaitu kala jengking panggang, sambil dia dikerumuni ramai warga tempatan yang menyedari kehadiran personaliti tersebut di tempat umum.

Selain program bual bicara itu yang bersiaran sejak 1993 hingga 2009 di televisyen, O’Brien juga memiliki pengikut yang ramai menerusi rancangan Conan Without Borders, iaitu program kembara yang menyelitkan elemen humor, dan disiarkan sepanjang tahun 2012 hingga 2019.

Pada Ogos 2021, O’Brien pernah menyatakan hasrat untuk menyambung program itu selepas pandemik COVID-19.

Mengenai penggambaran di Thailand itu, tidak dapat dipastikan tentang waktu mahupun platform siarannya, namun dia menghabiskan banyak masa di Workpoint Studios di Bangkok baru-baru ini untuk menilai hasil penggambaran bersama pasukan produksinya.