SELEPAS 12 hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Petaling Jaya, pengarah Mamat Khalid akhirnya memberi maklum balas fizikal.
Pada Isnin lalu, Mamat, 56, buat pertama kalinya membuka mata selama berada di ICU.
Anak keempatnya, Mohd Khalid Amen, 23, berkata doktor memaklumkan kesihatan pengarah dan penerbit itu semakin menunjukkan kemajuan.
Katanya, biarpun hanya sekejap membuka mata dan kemudian tidur semula, maklum balas fizikal berkenaan merupakan petanda yang baik.
Namun, kata Amen, bapanya belum boleh dipindahkan ke wad biasa bagi tujuan pemantauan.
“Sebenarnya sekarang ayah sudah boleh bernafas sendiri, cuma doktor mahu jantungnya terus stabil selain enggan tergesa-gesa membuka alat bantuan pernafasan berkenaan.
“Alhamdulillah, walaupun tempoh kali ini paling lama ayah kami berada dalam ICU, paling penting kesihatannya dapat kembali seperti sedia kala.
“Buat masa ini, sudah tentu kami sekeluarga mahu dia berehat dulu dan berdoa semoga dia sampai betul-betul sembuh,” katanya seperti dilaporkan portal BH Online.
Mamat dilaporkan kritikal pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung.
Bagi memastikan jantungnya kembali stabil, pakar perubatan merehatkan pengarah terbabit selama 48 jam dengan memberikan dos ubat yang membolehkannya tidur.
Sebelum ini, bapa kepada lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke ICU sekitar 2017 akibat sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuhraya Ke Neraka.
Tiga tahun sebelumnya, sutradara dihormati ramai itu menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat berikutan masalah jantung.
Sementara itu, kata Amen lagi, filem terbaru bapanya, Rock 4, yang baru selesai menjalani penggambaran kini sudah memasuki proses suntingan.
“Kerja pos produksi, termasuk suntingan, sudah dijalankan dengan saya sendiri menggalas amanah terbabit. Insya-Allah jika tiada aral, filem baharu ayah akan menemui penonton Ogos depan,” ulasnya.