CALIFORNIA: Sisa tubuh manusia yang ditemukan di kawasan pergunungan San Gabriel, California, Amerika Syarikat (AS) disahkan sebagai milik pelakon British, Julian Sands, yang hilang semasa mendaki pada bulan Januari lalu.

Pendaki telah menemui sisa tersebut pada hari Sabtu, kata pihak polis, dan mereka kini telah dikenal pasti secara rasmi.

Sands terkenal dengan lakonannnya dalam filem yang pernah meraih Oscar, A Room With A View selain drama televisyen pupular, 24 dan Smallville.

Pencapaian mendiang yang lain termasuk naskhah The Girl with the Dragon Tattoo pada tahun 2011 bersama pelakon Daniel Craig.

Sands yang berusia 65 tahun dilaporkan hilang pada 13 Januari lalu semasa cuaca buruk di kawasan Baldy Bowl di pergunungan San Gabriel.

Pencarian berdepan kekangan akibat cuaca buruk di kawasan itu dan dihentikan pada Mac kerana risiko runtuhan salji.

Bahkan, sebanyak lapan misi mencari melalui darat dan udara telah dilakukan termasuk usaha mencari oleh sukarelawan selama lebih 500 jam.

Jurucakap polis sebelum ini berkata, matlamat mereka adalah "untuk memberikan penyelesaian" kepada keluarga Sands.

Selepas pencarian semula pada awal bulan ini, polis berkata, bahagian kawasan yang curam dan lembah masih tidak dapat diakses disebabkan oleh "kedudukan alpin yang ekstrem", termasuk ketebalan salji dan ais lebih daripada 10 kaki (3 meter) yang masih bersisa.

Dalam masa sama, keluarga pelakon berkenaan merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa California yang berusaha menjejaki mendiang Sands meskipun gagal menemukannya.

Semenatara pada akhir Januari, abang aktor itu, Nick Sands, yang menetap di North Yorkshire iaitu tempat di mana mereka lima beradik dibesarkan berkata, dia telah mengucapkan "selamat tinggal" kepada adiknya.

"Saya telah menerima hakikat bahawa dia pergi dan bagi saya, itulah cara saya menghadapinya," katanya.

Dilahirkan di Otley, Yorkshire, dan dididik di Lord Wandsworth College di Hampshire, Sands memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan menerusi filem The Killing Fields. - Agensi