Sesi uji bakat untuk filem terbaru arahan Pierre, Perempuan Muka Surat Tujuh tidak dilakukan secara konvensional sebaliknya menerusi laman sosial terbaru Keek.

Menampilkan pelakon dari tiga negara, Perempuan Muka Surat Tujuh mempertaruhkan Nina Iskandar dari Brunei, Atikah Suhaime dari Singapura dan Afiera Riana dari Malaysia.

Filem ini diterajui adik Pierre, Mikail Andre serta bakat baru, Azwan Kombos.

Filem ini mengisahkan keinginan Putra lakonan Mikail yang ingin mencari penulis sekeping nota indah yang tercatat dalam sebuah novel yang dipinjam.

Perkahwinannya yang hambar mendorong keinginan Putra untuk mengetahui siapa penulisnya.

Memegang watak Luna, Nina yang berpengalaman sebagai pelakon drama dan telefilem berharap dapat mengembangkan bakat di negara ini.

Filem bergenre romantik ini memulakan penggambaran pada Khamis di sekitar Lembah Klang.

Perempuan Muka Surat Tujuh merupakan filem ke-89 terbitan Metrowealth Pictures (MIG).