Minggu Fesyen Malaysia (MFW), usahasama antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan penganjur acara fesyen terkemuka Stylo International akan diadakan di Menara Matrade, Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Nov ini.

Pengarah Bahagian Seksyen Gaya Hidup Perdagangan dan Perkhidmatan Promosi Matrade, Aureen Jean Nonis berkata MFW akan menampilkan dua acara utama - pameran perdagangan: Facit@Intrade dan Minggu Fesyen Perdagangan (Pameran Fesyen Malaysia (MF) dan Minggu Fesyen Asia Mercedes-Benz Stylo).

Beliau berkata Facit@Intrade akan mempersembahkan pameran bergaya, fesyen dan pakaian, aksesori, barang kemas dan kasut, kosmetik dan penjagaan diri, dalaman (tekstil untuk kelengkapan lembut) dan tekstil.

Dianggap sebagai "Destinasi Fesyen Seterusnya", Aureen berkata MFW bermula sebagai acara peringkat nasional dan antarabangsa tahun lepas dan menjadi hos bagi pengedar fesyen Malaysia dan antarabangsa.

"Pameran perdagangan dikenali Facit (fesyen, seni, kosmetik, hiasan dalaman dan tekstil), akan disusuli dengan siri pertunjukan fesyen dan acara gala yang menampilkan pereka antarabangsa dari 15 negara di rantau ASEAN dan Asia bersama pereka tempatan," katanya semasa taklimat bagi bakal peserta dari Sarawak dan wakil media di sini pada Isnin.

Beliau berkata terdapat 350 gerai ruang pameran 10,000 meter persegi sambil menambah pameran akan dibuka kepada pelawat perdagangan pada 4 dan 5 Nov dan kepada orang ramai pada 6 dan 7 Nov sementara minggu fesyen perdagangan akan berlangsung dari 5 hingga 7 Nov dengan menampilkan empat pertunjukan setiap hari.

Aureen berkata pihak penganjur menawarkan tawaran eksklusif untuk ahli Matrade yang menyertai acara ini dengan hanya RM4,800 untuk pilihan skim shell atau ruang terdedah berukuran 9sqm (3X3m).

"Kami mahu pempamer dari Sarawak menyertai pameran dan kami menyasarkan untuk mempunyai 10 pempamer dari Sarawak untuk acara tahun ini," katanya.

Beliau berkata pempamer boleh memohon untuk geran/subsidi RM5,000 dari Matrade tetapi perlu membayar dahulu perbelanjaan mereka termasuk sewa gerai dan mengemukakan tuntutan mereka kemudian kepada Matrade untuk geran/subsidi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.malaysiafashionweek.