Seorang penyanyi wanita kacukan Perancis-Syria telah mengejutkan pengadil dan penonton dengan suaranya yang begitu halus dan merdu dalam sebuah rancangan realiti antarabangsa, The Voice pada Sabtu di Perancis.

Mennel, 22 tahun merupakan peserta pertama berhijab telah mendendangkan lagu karya pemuisi Kanada, Leonard Cohern dalam bahasa Inggeris dan Arab.

“Saya tidak pernah melihat persembahan sebegini sebelum ini tetapi lagu Hallelujah dalam bahasa Inggeris dan Arab oleh penyanyi wanita muda asal Syria ini, sangat merdu,” puji Hala Gorani, pembaca berita CNN di Twitter.

Walau bagaimanapun, populariti penyanyi ini yang kian meningkat turut menerima beberapa sambutan kurang menyenangkan apabila statusnya di Twitter dua tahun lalu dikaitkan dengan menyokong keganasan.

Netizen mula memberi pelbagai reaksi terhadap status Mennel itu berkaitan dengan serangan keganasan di Nice pada 14 Januari 2016 yang mengakibatkan 86 orang maut dan ratusan tercedera.

“Perkara itu bagus kerana menjadi rutin, seminggu satu serangan! Dan sentiasa kekal setia ‘keganasan’ merupakan identiti dia. Apabila kamu merancang tindakan kotor, kamu pasti tidak akan lupa identiti kamu,” tulis Mennel di laman media sosial pada hari tersebut.

Kemudian pada 1 Ogos 2016 selepas pihak polis mengumukakan mereka sudah dapat kenal pasti warga Tunisia, Mohammed Lahouaijej sebagai pemandu trak pada hari serangan itu, Mennel memuat naik status lagi, “Kerajaan kita adalah pengganas yang sebenar,”.

Selepas orang ramai naik berang dengan status yang pernah di muat naik Mennel seola-olah menyokong keganasan, penyertaan penyanyi itu diminta dibatalkan dalam rancangan realiti, The Voice.

Pengguna Twitter @NoamOhana berkata dia ada suara yang sangat merdu. Malangnya dia turut berkonspirasi dengan perbuatan terkutuk itu.
Pengguna Twitter @OlivierGuitta pula berkata dia menghina kerajaan Perancis sebagai pengganas.
Bagaimanapun, Mennel tidak berdiam diri dan membuat kenyataan balas bagi menjelaskan keadaan.

“Saya dilahirkan di Besancon. Saya cintakan Perancis, saya cintakan negara saya. Sudah pasti saya menentang keganasan dengan tegas. Itu adalah punca kemarahan saya. Bagaimana pula saya nak mempertahankan hal yang tidak boleh dipertahankan?”

“Saya bawa mesej cinta, keamanan, toleransi dan buktinya saya memilih menyanyikan lagu Hallelujah, tulisan Leonard Cohen. Mesej dalam lagu ini saya bawa sebagai seorang artis.”

Selain itu, Mennel menjelaskan ketika kejadian serangan keganasan di Nice, ada beberapa saudaranya berdekatan dengan trak yang dipandu ke orang ramai.

Sebab itu Mennel bertindak memarahi pihak berkuasa kerana tidak mampu mengelak dari kejadian sebegini tanpa beliau menyangka kesan status itu akan terjadi seperti sekarang.