KUALA LUMPUR: Jika bicara mengenai penyanyi Aina Abdul, hanya dua perkara yang akan terlintas di minda netizen iaitu kebolehan vokal dan juga citarasa fesyen yang sangat berani.

Aina membawa kedua-duanya seiringan sehingga boleh membuatkan perkara itu bermain di minda peminat yang akan sentiasa menantikan apa yang akan dilakukan oleh penyanyi tersebut setiap kali membuat kemunculan.

Rasa itu semakin membuak-buak apabila pelantun lagu Sumpah itu membuat persembahan di pentas Istana Budaya menerusi konsert A Night With Aina Abdul 2.0

Persembahan pembukaan dengan lagu Fool yang cukup bertenaga oleh Aina menjadi lebih unik apabila penyanyi yang berusia 29 tahun itu memakai busana “Rambut”.

Menurut pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani, idea untuk memakai busana rambut itu adalah hasil perbincangannya bersama dengan penata gaya, Abu Shaef Hamza.

“Baju pertama itu adalah alter ego Aina Abdul, kita menggunakan lebih 150 rambut dan rambut-rambut itu diimport dan ia adalah rambut yang sebenar.

“Baju tersebut telah direka oleh Melinda Looi, dan kalau nak tahu baju ini merupakan hasil perbincangan saya bersama Abu sebelum semua ini bermula, saya ingin kan sesuatu yang lain, maka terhasil la ia dan saya tak sabar nak menantikan apa netizen akan cakap mengenainya,” kata Aina Abdul semasa sidang media.

BACA: Saya tak nak janji apa-apa tapi anda tidak akan menyesal - Aina Abdul

Pada masa sama, Aina turut memaklumkan bahawa setiap busana yang dipakai harus mendapat kelulusan daripada bonda yang tercinta.

“Mak wajib tengok saya buat persembahan, kalau tidak perlu tengok saya membuat raptai penuh berserta busana sebab mak ini netizen nombor satu saya.

“Selepas melihat kesemua pakaian dan dia puas hati, baru saya lega untuk meneruskan persembahan pada malam ini,” tambahnya.

Busana lain yang turut diperagakan Aina Abdul sempena A Night With Aina Abdul 2.0

Aina menyanyikan lebih 26 buah lagu dan menampilkan lapan pereka fesyen yang berbeza untuk dua hari persembahanya menerusi konsert tersebut.

Antara pereka fesyen yang bekerjasama dengan Aina Abdul untuk konsert tersebut adalah Zaimi Zulkafli, Kuntum, Behati, Melinda Looi dan Rizman Ruzaini.

Konsert tersebut turut mendapat sokongan rakan-rakan artis antaranya adalah Che Ta, Ernie Zakri, Syamel dan Ziana Zain.

Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 berlangsung selama dua hari iaitu 25 dan 26 Jun 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Antara peminat yang hadir di Konsert A Night With Aina Abdul 2.0