“Parah”, teater arahan pengarah prolifik Jo Kukathas yang telah dipentaskan di World Theatre Festival (WTF) di Brisbane selama seminggu telah mendapat sambutan yang baik di sana.

Satu ulasan oleh portal berita Australia “Crikey” telah memuji teater tersebut sebagai satu karya yang “provokatif” yang berani membincangkan hal bangsa dan isu penapisan dengan menyuntik unsur jenaka dan menyentuh perasaan.

Teater tersebut menyentuh tema identiti, dan kuasa perkataan melalui cerita empat orang pelajar tingkatan 5 yang terjumpa halaman koyak dalam buku teks mereka, Interlok, yang ditulus oleh sasterawan negara Abdullah Hussain.


"Ini merupakan satu karya yang cemerlang, dan dilakukan dengan nada lucu yang baik oleh keempat-empat pelakon. Apabila mereka akhirnya bertelagah, kita menyoal sama ada ia selalu begini, atau sama ada masalah ini terdapat pada semua masyarakat yang majmuk, terutamanya mengenai kita,” ulas penulis tersebut.

Sementara itu, satu lagi ulasan oleh Clare Murphy di blog Critical Mass menyatakan bahawa “Parah” berjaya mempamerkan budaya Malaysia dengan cara yang amat tepat.

Beliau berkata kejayaan “Parah” di Malaysia dan di luar negara adalah disebabkan skrip tulisan Alfian Sa’at berjaya memukau dengan cara mendidik tanpa memaksa, dan disokong dengan lakonan yang meyakinkan.

Penulis berkata penonton “Parah” akan lebih memahami dengan mendalam perasaan bagaimana dilihat sebagai bangsa lain selain oleh bangsa sendiri.

Beliau juga berkata orang Australia mungkin boleh belajar tentang diri mereka daripada teater Malaysia itu.


“Parah” diinspirasikan daripada filem Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime, dan penulis, Alfian, ialah warga Singapura.

Ia mendapat sambutan baik sejak dipentaskan pada 2011 di tiga lokasi berbeza iaitu KLPAC, Galeri Annexe dan Drama Centre di Singapura. Sewaktu dipentaskan di Singapura, teater itu menggunakan judul "Pariah".

Parah dibintangi pelakon teater muda negara antaranya Iedil Putra, Farah Rani, Gregory Sze dan Branavan Aruljothi.

Novel Interlok telah mencetuskan kontroversi pada tahun 2011 apabila ia diperkenalkan sebagai buku sastera tingkatan 5. Istilah yang dipertikaikan, seperti “orang berkulit hitam” dan “pariah”, menyebabkan kemarahan sebagian masyarakat India.

Berikutan bantahan, Kabinet telah memutuskan untuk menghentikan penggunaan buku teks tersebut dan menggantikannya dengan "Konserto Terakhir" oleh pengarang yang sama pada tahun 2012.