Skip to main content

Malaysia

Warga emas mengaku tidak salah pandu melulu hingga sebabkan dua beradik maut

Kim Lai (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan memandu secara melulu, minggu lalu.
Kim Lai (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan memandu secara melulu, minggu lalu.

KLANG: Seorang pemandu berusia 75 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan dua pejalan kaki yang juga adik-beradik maut minggu lalu.

Pesara, Ang Kim Lai, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Khartiyayini.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu sebagai pemandu didakwa memandu kenderaan di jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kematian Wong Nyoke Fong, 57, dan Wong Nyok Sim, 62.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pekan Baru di sini pada jam 7.30 malam, 15 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, termasuk penggantungan lesen, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes dan mengenakan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Tong Kuan Ling yang mewakili bapa kepada lima anak itu merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum kerana dia perlu menyediakan wang untuk rawatan penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Selepas mendengar permohonan semua pihak, Khartiyayini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Lesen tertuduh digantung sementara sehingga kes ini selesai,” katanya sambil menetapkan 4 Ogos depan untuk serahan laporan kimia dan forensik.

Dalam prosiding itu, Royston Tan Chun Tat hadir selaku peguam pemerhati bagi mewakili keluarga mendiang.

Media sebelum ini melaporkan perjalanan dua beradik untuk keluar makan malam bertukar tragedi apabila mereka dirempuh sebuah SUV.

Dalam kejadian itu, dua mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian sama turut menyebabkan anak kepada salah seorang mangsa, iaitu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ketika itu berjalan bersama mereka, mengalami kecederaan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement